
Penyanyi bersuara lunak, Amira Othman sekali lagi berjaya menyentuh jiwa pendengar menerusi lagu terbaharunya berjudul “Dalam Sujudku”, sebuah balada penuh emosi yang menyelami keperitan batin seorang wanita dalam mencari kekuatan dan ketenangan hati.
Menampilkan gandingan mantap Farouk Roman selaku komposer dan penerbit serta lirik menyentuh hati hasil tulisan Senna, lagu ini mengangkat kisah seorang insan yang terperangkap dalam hubungan toksik namun tetap berserah dan berdoa kepada Tuhan, walaupun jiwanya makin parah dilukai.
Lagu ini turut dipilih sebagai lagu tema drama Dia Bukan Syurga arahan Rashid Sibir yang bakal menghiasi Slot MegaDrama di Astro Ria bermula 19 Mei.
Drama adaptasi karya Rissa Ahdiya itu mengisahkan watak Nuha, lakonan Ezzanie Jasny, seorang isteri yang didera emosi oleh suaminya, Tajul (Niezam Zaidi), sebelum perlahan-lahan bangkit semula apabila bertemu cinta lamanya, Arham (Nazim Othman).
Pelancaran rasmi lagu ini berlangsung dalam satu sidang media khas di A Quiet Place, Bukit Bintang, hari ini. Majlis yang berlangsung dalam suasana santai itu turut dihadiri rakan media serta wakil Sony Music Malaysia.
Amira dalam ucapannya melahirkan rasa terharu dengan sambutan positif yang diterima sejak lagu ini mula diperdengarkan.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan tersentuh dengan maklum balas yang diterima,” kata Amira.
Lirik lagu ini menyerlahkan dilema batin watak utama menerusi bait seperti “Jika aku terbunuh oleh cinta, biar mati di hatimu saja” dan “Oh Tuhan, ku memohon dalam sujudku, jika ini memang suratan ku, maka kuatkanlah jiwaku.”
Gabungan vokal penuh penghayatan Amira dengan melodi syahdu mencipta impak mendalam yang mampu mengusik perasaan pendengar.
Dalam Sujudku bukan sekadar lagu tema, tetapi suara batin seorang wanita yang tercedera, namun tetap berharap dan berserah kepada takdir.
Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital dan dijangka terus menjadi siulan ramai seiring tayangan drama Dia Bukan Syurga.