Amir Masdi Cipta Kelainan Dengan Single Inggeris Take Me Home
- oleh Mohd Indera
- 3 Oct 2025 4:57 pm

Penyanyi berbakat besar, Amir Masdi tampil dengan langkah berani apabila memperkenalkan single Inggeris terbaharunya berjudul Take Me Home, yang menampilkan sisi berbeza dirinya sebagai penyanyi versatil.
Lagu ciptaan sepenuhnya Amir bersama komposer terkenal Edry Abdul Halim itu turut dimuatkan dalam album keduanya, AM:PM, yang mengetengahkan pelbagai eksperimen muzik segar.
Menurut Amir, karya ini tercetus ketika beliau berada di Manchester, England, di mana pengalaman berjauhan dari tanah air memberi inspirasi kepada penulisan lagu tersebut.
“Saya banyak mengambil inspirasi daripada lagu-lagu western rock, pop rock dan ballad rock cinta era 90-an dan awal 2000-an. Rasa rindu untuk pulang ketika berada jauh dari Malaysia mendorong tercetusnya idea ini,” katanya.
Bagaimanapun, jelas Amir, maksud “home” dalam lagu tersebut tidak hanya merujuk kepada rumah fizikal.
“Asalnya saya tulis ‘home’ ini sebagai sebuah perasaan, seseorang dan juga hati manusia. Ia adalah tempat di mana kita merasa selamat. Hati orang yang kita sayang juga boleh menjadi rumah buat kita,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa Take Me Home bersifat lebih terus dan mudah difahami, berbanding karya-karya sebelumnya yang banyak berfokus kepada kisah cinta.
“Saya mahu lagu ini menjadi sesuatu yang pendengar boleh kaitkan dengan kehidupan mereka. Ia bukan hanya tentang saya, tetapi tentang perasaan sejagat,” katanya.
Amir yakin bahawa single ini mampu membuka ruang baharu untuk dirinya menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya mahu pendengar melihat sisi saya dalam menyanyikan lagu Inggeris. Jika ada rezeki, saya mahu bawa Take Me Home keluar negara dengan membawa nama Malaysia,” jelasnya.
Selain memberi fokus pada album baharu, Amir baru-baru ini turut diberi penghormatan mewakili Malaysia di Expo 2025 Osaka melalui program National Day Spirit to Expo 2025 Osaka.
“Bagi saya, peluang ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghargaan untuk membawa semangat Malaysia ke pentas dunia. Saya mahu penonton di Osaka merasai keindahan budaya kita, semangat perpaduan rakyat Malaysia, dan muzik kita yang penuh jiwa,” katanya.
Acara berprestij itu menghimpunkan negara dari seluruh dunia, bukan sahaja menerusi persembahan muzik, malah pameran seni, budaya dan nilai identiti Malaysia yang dipertontonkan kepada khalayak antarabangsa.