Amir Ahnaf Hidupkan Watak Kahar dengan Penuh Jiwa dan Air Mata
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Pelakon muda berbakat, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, atau lebih dikenali sebagai Amir, mendedahkan pengalaman mendalam membawa watak Kahar dalam filem Kahar: Kapla High Council.
Selepas dua tahun tanpa latar belakang cerita watak itu, Amir akhirnya menerima skrip yang menjadi kunci untuk menghidupkan semula karakter Kahar dengan penuh jiwa.
“Saya rasa terputus hubungan dengan watak Kahar selama dua tahun. Apabila skrip itu sampai, saya sangat tersentuh. Membacanya membuatkan saya menangis dan seperti bertemu semula dengan seseorang yang kita sayangi selepas sekian lama,” kata Amir, 24 tahun.
Beliau turut menyifatkan skrip filem ini sebagai karya agung.
“Selepas dapat skrip itu, saya baca dan saya rasa, this is perfect masterpiece,” tambahnya.
Kahar: Kapla High Council mengembalikan watak ikonik Kahar, seorang pelajar Kolej Ungku Deramat (KUDRAT) yang menjadi perhatian ramai dalam siri terdahulu.
Dengan durasi 102 minit, filem ini bukan sekadar menyajikan babak penuh aksi dan ketegangan, tetapi juga membawa mesej yang mendalam. Filem ini mengetengahkan isu buli yang masih relevan dalam masyarakat, serta menyoroti kepentingan institusi kekeluargaan terhadap pembangunan mental remaja.
Filem prekuel ini memberi fokus kepada detik-detik penting yang membentuk Kahar menjadi individu kompleks yang dikenali penonton dalam Projek: High Council.
Menurutnya, proses membawa watak itu melibatkan latihan fizikal yang intensif, hafalan skrip, dan penjiwaan emosi yang mendalam untuk memastikan watak itu dilakonkan dengan penuh kejujuran.
“Bila saya baca skrip itu, saya bukan lagi Amir Ahnaf. Yang membaca skrip itu adalah Kahar.” katanya lagi.
Tema utama filem ini, “Stop Violence”, disampaikan melalui penceritaan berani yang diinspirasikan daripada situasi sebenar.
Filem ini memperlihatkan cabaran moral serta tekanan harapan keluarga terhadap anak-anak, menjadikannya sangat relevan kepada masyarakat hari ini.
Diterajui oleh Amir Ahnaf sebagai Kahar, filem ini turut menampilkan bintang seperti Aedy Ashraf (Reza/Beja), Sky Iskandar (Megat), Fazziq Muqris, Fadhli Masoot, Thompson Goh, dan Khenobu. Penampilan istimewa daripada Mierul Aiman, Nadhir Nasar, dan Naim Daniel menambahkan lagi tarikan filem ini.
Kahar: Kapla High Council, yang diarahkan oleh Razaisyam, bakal menemui peminat di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 28 November 2024, manakala tayangan di Singapura dijadualkan pada 5 Disember.
Filem ini dijangka menyentuh hati penonton dengan jalan cerita sarat emosi dan mesej sosial yang mendalam.