Ikuti Kami:

Amerul Affendi Keluar dari Zon Selesa, Bintangi Filem Aksi Pertama Arahan Aziz M. Osman

Amerul Affendi Keluar dari Zon Selesa, Bintangi Filem Aksi Pertama Arahan Aziz M. Osman

Pelakon Amerul Affendi mengorak langkah baharu dalam kerjayanya apabila membintangi filem aksi pertamanya, 6 Jilake, arahan pengarah tersohor, Aziz M. Osman.

Amerul, yang sebelum ini lebih dikenali melalui watak-watak dramatik dan komedi, mengakui tidak pernah membayangkan dirinya terlibat dalam filem bergenre aksi. Namun, demi mencabar kemampuan serta mengembangkan bakat, beliau menerima tawaran tersebut.

“Genre aksi bukan sesuatu yang biasa bagi saya. Tetapi saya ingin keluar dari zon selesa dan cuba sesuatu yang baru,” katanya.

Amerul turut meluahkan rasa teruja kerana berpeluang bekerja di bawah arahan Aziz M. Osman, yang disifatkannya sebagai seorang “storyteller sejati”.

“Dia seorang yang tegas, berpengalaman, dan penuh semangat di set penggambaran. Walaupun usianya semakin meningkat, energinya di lokasi seakan-akan seorang anak muda. Saya sangat terinspirasi dengan cara Aziz menyalurkan visi dan emosinya kepada para pelakon dengan begitu jelas dan berkesan,” katanya lagi.

Bagi memastikan mutu lakonannya dalam 6 Jilake, Amerul menjalani latihan intensif selama dua minggu sebelum penggambaran bermula.

Menurutnya, pengalaman lama dalam mempelajari silat semasa di bangku sekolah serta ilmu Muay Thai yang pernah dipelajari sebelum ini banyak membantu dalam menguasai koreografi aksi.

“Persediaan untuk filem ini bukanlah sesuatu yang mudah. Latihan yang saya lalui membuktikan komitmen kami sebagai pelakon demi memastikan mutu aksi yang dipersembahkan berada pada tahap terbaik,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi cabaran berlakon di lokasi penggambaran terbuka ketika musim kemarau dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius.

“Berlakon di kawasan lapang tanpa perlindungan mencukupi menuntut disiplin yang tinggi bukan sahaja dari segi tenaga, tetapi juga dari aspek menjaga kesihatan diri sepanjang proses penggambaran,” katanya.

Selain itu, Amerul turut berpeluang beraksi bersama pelakon komedi popular, Saiful Apek, dalam filem ini. Meskipun sebelum ini hanya mengenali Apek melalui karya-karya popular, Amerul menyifatkan pengalaman bergandingan dengan beliau sebagai satu kenangan manis.

“Apek seorang yang sangat menghiburkan, baik di dalam mahupun di luar set, dan seorang ‘happy-go-lucky’ sejati yang sentiasa menceriakan suasana,” katanya.

Amerul turut menyatakan hasrat untuk terus aktif dalam genre aksi dan berharap dapat bekerjasama dengan pengarah terkenal Syafiq Yusof pada masa akan datang.

Beliau juga menyimpan impian untuk membintangi filem bertemakan cinta sebagai langkah seterusnya dalam memperkaya portfolio lakonannya.

6 Jilake dijangka menjadi bukti keberanian Amerul dalam menolak sempadan bakatnya dan memperkukuhkan lagi namanya dalam dunia seni lakon tanah air.

Komen
Loading...