Amber Oasis Abaya: Simbol Keanggunan, Seni dan Fesyen Muslimah Moden
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Jenama fesyen mewah kontemporari, Amber, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam dunia fesyen Muslimah tanah air dengan pelancaran koleksi eksklusif terbaharu mereka, Amber Oasis Abaya.
Koleksi edisi terhad ini memperlihatkan gabungan unik antara rekaan avant-garde dan elemen warisan Islamik, khusus buat wanita berjiwa seni dan bergaya tinggi.
Menampilkan empat rekaan utama iaitu Madeena, Arora, Jumaira dan Sahara, koleksi ini disasarkan kepada wanita moden yang mengutamakan keanggunan, keselesaan serta nilai-nilai Muslimah.
Pelancaran ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tiga selebriti terkenal tanah air, Nora Danish, Amira Othman dan Amyra Rosli, yang dilantik sebagai duta rasmi Amber.
Ketiga-tiga figura ini bukan sahaja mempunyai pengaruh besar dalam dunia hiburan, malah menjadi inspirasi kepada ramai wanita melalui gaya hidup mereka yang sofistikated namun tetap berpegang kepada nilai-nilai Muslimah.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, berkata pelancaran koleksi ini adalah cerminan komitmen Amber dalam menghasilkan fesyen Muslimah berkualiti tinggi dengan sentuhan eksklusif tempatan.
“Amber bukan sekadar jenama, ia adalah lambang kepada keyakinan dan keanggunan wanita Muslimah moden. Kami percaya setiap wanita berhak untuk bergaya tanpa mengetepikan nilai dan keselesaan.
“Koleksi Amber Oasis Abaya ini merupakan koleksi istimewa sempena Hari Raya Aidiladha, namun ia direka untuk dipakai sepanjang masa. Ia menampilkan empat rekaan eksklusif iaitu Madeena, Arora, Jumaira dan Sahara yang diinspirasikan daripada nilai-nilai murni seperti keikhlasan, keindahan dan kenangan.
“Kesemua rekaan diperbuat daripada fabrik premium yang sesuai dengan cuaca Malaysia, selain direka mesra wuduk, mesra bentuk badan dan boleh digayakan mengikut citarasa peribadi wanita moden,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kolaborasi bersama duta selebriti ini bukan sekadar strategi pemasaran semata-mata, sebaliknya adalah usaha untuk memperkukuhkan hubungan antara jenama dan pelanggan melalui ikon yang dikagumi ramai.
Koleksi Amber Oasis Abaya hadir dalam empat rekaan utama yang masing-masing menampilkan keunikan tersendiri:
- Madeena (RM329) – Rekaan lembut dan klasik dalam rona baby blue, maroon dan purplish gold, hadir dalam potongan free size.
- Arora (RM289) – Menarik dengan dua versi tekstur iaitu pleated copper brown dan non-pleated midnight blue, untuk wanita berani dan moden.
- Jumaira (RM259) – Gaya kasual yang mewah, ditawarkan dalam warna white, mint green dan light brown.
- Sahara (RM199) – Pilihan versatil dan mampu milik, dalam warna asas black, brown dan green, tetap mengekalkan aura eksklusif.
Menariknya, hanya 500 unit disediakan bagi setiap rekaan, menjadikan koleksi ini sangat terhad dan eksklusif.
Setiap pembelian juga disertakan dengan kotak hadiah berlapik sutera, sijil keaslian bernombor, serta e-pass jemputan ke majlis preview eksklusif di Kuala Lumpur Fashion Week, yang dijadual berlangsung pada September 2025.
Pelancaran ini turut dimeriahkan dengan persembahan dari penyanyi kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah.
Amber Oasis Abaya bukan sekadar pakaian, tetapi simbol gaya hidup dan keyakinan wanita Muslimah masa kini yang elegan, berani dan berprinsip.