Ikuti Kami:

Amber LUXE Pertaruh Scha & Hael, ‘Luxe Bukan Soal Harga, Tapi Kualiti’ – Datuk Adzliana Hasan

Amber LUXE Pertaruh Scha & Hael, ‘Luxe Bukan Soal Harga, Tapi Kualiti’ – Datuk Adzliana Hasan

Jenama fesyen tempatan, Amber, melangkah lebih jauh dalam mengangkat martabat busana Raya tahun ini dengan mempertaruhkan ikon gaya, Scha Alyahya dan Hael Husaini sebagai wajah utama kempen Amber LUXE: Luxe – An Interpretation Collection.

Pemilihan kedua-dua selebriti popular ini bukan sekadar bersandarkan kepada populariti, sebaliknya kerana imej mereka yang sinonim dengan gaya minimalis, elegan serta ketelitian tinggi dalam pemilihan jenama yang selari dengan konsep koleksi terbaharu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Amber, Datuk Adzliana Hasan, berkata konsep Amber LUXE yang diketengahkan bukan berpaksikan kepada status atau harga yang mahal, sebaliknya ia tertumpu kepada kualiti tekstur fabrik, rekaan dan pengalaman luar biasa bagi setiap pemakainya.

“Kalau kita tengok Amber LUXE, rekaannya sangat ringkas tetapi nampak luxury. Sebab itu saya rasa konsep ini sangat bertepatan dengan Scha dan Hael. Bila mereka menggayakannya, semuanya nampak on point.

“Luxe itu bukan bermaksud status, tetapi dari segi tekstur kain, pemilihan rekaan dan keseluruhan rasa pakaian itu. Cara kita membawa diri dan baju itu sendiri perlu berjalan seiring,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, koleksi ini dihasilkan untuk semua golongan masyarakat, sekali gus menepis persepsi bahawa pakaian eksklusif hanya tertumpu kepada segmen premium semata-mata.

“Amber LUXE untuk semua. Kita mahu pelanggan merasai pengalaman eksklusif tetapi dengan harga yang masih mampu milik. Luxe bukan bermakna mahal, tetapi pada kualiti, rekaan dan keselesaan,” ujarnya lagi.

Amber LUXE menampilkan koleksi wanita yang terdiri daripada lima rekaan utama iaitu Melis, Esma, Ruya, Ela dan Leyla.

Setiap satu dihasilkan menggunakan fabrik satin mewah serta chiffon sutera ringan, diperincikan dengan lipatan kemas, ruffle romantik dan sentuhan reben yang memberikan aura anggun tanpa mengabaikan elemen keselesaan.

Bagi koleksi lelaki pula, Amber menawarkan tiga set Baju Melayu moden iaitu Orhan, Azra dan Demir yang direka dengan potongan minimalis dan kemasan premium, khusus untuk mereka yang mementingkan kekemasan dalam bergaya.

Sementara itu, Scha Alyahya menyifatkan peluang menjadi wajah kempen Amber LUXE sebagai satu penghargaan besar buat dirinya yang mementingkan kualiti dalam setiap kerjasama jenama.

“Bagi saya, ‘Luxe’ itu bukan sahaja pada pakaian tetapi bagaimana kita membawa diri. Saya seorang yang santai, tetapi sangat teliti dalam memilih jenama. Sebab itu bila diberi peluang ini, saya rasa ia satu penghargaan terhadap apa yang saya bina selama ini,” katanya.

Hael Husaini pula melahirkan rasa syukur dengan maklum balas positif peminat, malah koleksi tersebut mendapat sambutan memberangsangkan semasa dipamerkan di acara CelebFest di Singapura baru-baru ini.

Menurut Datuk Adzliana, penerimaan pelanggan terhadap Amber terus menunjukkan trajektori positif, terutamanya selepas pembukaan butik baharu di IOI City Mall, Putrajaya yang mendapat sambutan luar jangkaan.

“Walaupun Amber bukan jenama yang paling besar, tetapi pelanggan datang dan melihat sendiri kualiti koleksi dari awal sampai sekarang. Penerimaan masyarakat sangat positif,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan koleksi Amber Raya 2026 boleh melayari laman web rasmi Amber atau mengunjungi butik Amber di IOI City Mall, Putrajaya. Untuk perkembangan terkini, ikuti Instagram rasmi di @amber.officials.

Loading...