Amai Residence Dilancarkan, Rumah Mampu Milik Konsep Premium
- oleh MDaily Editor
- 28 Sep 2025 2:43 pm
Projek kediaman baharu Amai Residence yang dibangunkan oleh Webest Sdn Bhd secara rasmi dilancarkan hari ini di Shaftsbury, Putrajaya, menawarkan rumah mampu milik dengan konsep premium yang jarang didapati di kawasan strategik.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh YB Datuk Borhan Bin Aman Shah, EXCO Perumahan & Kebudayaan Negeri Selangor, yang menyifatkan projek ini sebagai satu inisiatif yang seimbang dalam menyediakan kediaman berkualiti untuk masyarakat berpendapatan sederhana tanpa mengabaikan aspek kemampuan.
Pengarah Webest Sdn Bhd, Calvin Chan, menegaskan bahawa Amai Residence mencerminkan komitmen syarikat untuk membawa pendekatan baharu dalam pasaran hartanah tempatan.

“Projek ini menggabungkan kemampuan dan gaya hidup moden. Dengan kemudahan yang lengkap dan suasana kondusif, kami yakin ia mampu meningkatkan taraf hidup penduduk serta merancakkan lagi sektor hartanah tempatan,” katanya.
Sementara itu, Deeban Mudaliar, Eksekutif Jualan Kanan Webest Sdn Bhd, memaklumkan bahawa projek ini menerima sambutan luar biasa apabila hampir 50 peratus unit berjaya dipasarkan, dengan nilai jualan melebihi RM50 juta.

“Projek ini menawarkan lebih 300 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM300 juta. Ia terbahagi kepada tiga kategori iaitu Rumah Selangorku, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan unit terbuka.
Untuk PPAM, terdapat 150 unit khas untuk penjawat awam manakala Rumah Selangorku menyediakan 134 unit. Unit terbuka pula dilengkapi pakej tambahan seperti kabinet dapur percuma, pendingin hawa dan pemanas air,” jelasnya.
Tambahnya lagi, projek yang kini mencapai 30 peratus pembinaan itu dijangka siap pada suku ketiga tahun 2028, dengan lokasi strategik berhampiran Precinct 17, Sungai Merab dan Coffee Village.
Selain harga yang berpatutan, promosi pinjaman 100 peratus yang ditawarkan oleh pihak bank turut menjadi faktor tarikan utama pembeli, khususnya golongan muda dan pembeli rumah pertama.
Dengan akses mudah ke hospital, kolej, pusat beli-belah serta kemudahan awam lain, Amai Residence diyakini mampu menjadi pilihan utama bagi mereka yang mencari kediaman selesa, moden dan pada masa sama masih berada dalam kategori mampu milik.




