Ikuti Kami:

Alumni Indonesian Idol Piche Kota Lancar Single Baharu ‘Bahagia Lagi’

Alumni Indonesian Idol Piche Kota Lancar Single Baharu ‘Bahagia Lagi’

Alumni Indonesian Idol musim ke-13, Piche Kota, kembali mewarnai industri muzik serantau menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul “Bahagia Lagi”.

Karya yang mengekalkan identiti pop balada itu merupakan kesinambungan kembara seni beliau selepas berjaya mencuri perhatian peminat menerusi single sulung, “Pada Satu Cinta” yang dihasilkan bersama komposer tersohor, Yovie Widianto pada Jun tahun lalu.

Piche Kota berkata, “Bahagia Lagi” membawakan tema mendalam mengenai fasa pemulihan emosi serta keinginan seseorang untuk mencari semula sinar kegembiraan selepas mengharungi kepahitan kehilangan.

“Bagi mereka yang pernah merasakan kehilangan cinta, pasti faham bagaimana rasanya ingin bahagia semula selepas melalui kesedihan. Secara keseluruhan, lagu ini menggambarkan perasaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, lirik lagu tersebut ditulis dengan penuh kejujuran bagi memastikan penceritaannya dekat dengan realiti percintaan yang sering dialami oleh masyarakat.

Bagi penghasilan naskhah ini, Piche Kota bekerjasama dengan dua penulis berbakat, Happy Andromeda dan Dimas Bokor, manakala susunan muziknya diberi sentuhan tempo perlahan yang sinonim dengan genre pop balada bagi memperkuatkan lagi karakter vokal unik beliau.

Sejak dilancarkan, “Bahagia Lagi” mencetuskan fenomena tersendiri di Malaysia apabila mula mendominasi carta Viral 50 – Malaysia dan Top Songs Malaysia di platform Spotify, selain mencatatkan jumlah tontonan harian yang tinggi di aplikasi TikTok.

Melengkapi pelancaran single tersebut, sebuah video muzik berkonsepkan mini filem arahan Gustaf Weldy turut dilancarkan. Video yang menjalani penggambaran di Beantown itu bertujuan memberi dimensi visual yang lebih jelas terhadap bait-bait liriknya.

Piche Kota menzahirkan harapan agar lagu ini bukan sekadar menjadi hiburan, malah berfungsi sebagai ‘runut bunyi’ pemberi semangat kepada pendengar yang sedang melalui situasi serupa.

“Bahagia Lagi” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama.

Komen
Loading...