Alpro Pharmacy, Sandoz Malaysia Jalin Kerjasama Tingkat Akses Rawatan Biosimilar Kanser, Artritis
- oleh MDaily Editor
- 22 May 2026 6:48 pm
Rantaian farmasi komuniti, Alpro Pharmacy, dan Sandoz Malaysia hari ini memeterai kerjasama strategik bagi meningkatkan akses pesakit terhadap rawatan berkualiti di negara ini, khususnya bagi mereka yang menghidap kanser dan penyakit imun kronik.
Kolaborasi ini menyaksikan pengenalan ubat-ubatan biosimilar (ubat biologi alternatif yang setaraf dan lebih mampu milik) pertama di bawah Program Navigasi Pesakit ‘OncoHelp’ kendalian Alpro Pharmacy, yang dikhususkan untuk pesakit Limfoma Non-Hodgkin (NHL) dan Artritis Reumatoid (RA).
Melalui perjanjian kerjasama itu, ubat-ubatan biosimilar keluaran Sandoz akan disepadukan ke dalam program OncoHelp bagi memperkukuh sokongan pelengkap kepada pesakit yang dirujuk dari hospital kerajaan, sekali gus memastikan kelangsungan penjagaan kesihatan yang berterusan di luar persekitaran hospital.

Teraju Program OncoHelp Alpro Pharmacy, Joelle Wong Pei Sen berkata, farmasi komuniti bertindak sebagai pusat penjagaan paling mudah diakses oleh orang awam untuk mendapatkan bimbingan ubat-ubatan dan sokongan kepatuhan rawatan.
”Program OncoHelp kini telah membantu ribuan keluarga dan dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit di seluruh negara melalui pengukuhan akses kepada sokongan kesihatan berasaskan komuniti yang berstruktur,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Negara Sandoz Malaysia, Singapura dan Brunei, Christine Chong berkata, ubat biosimilar memainkan peranan yang semakin penting dalam memperluas akses pesakit kepada pilihan rawatan yang diiktiraf kualitinya, terutamanya bagi penyakit yang memerlukan terapi jangka panjang dan kos yang tinggi.
”Di Malaysia, NHL merupakan kanser kelapan paling biasa dijangkiti. Kos rawatan yang tinggi sering kali memberi cabaran kewangan dan emosi yang besar kepada pesakit serta keluarga mereka. Melalui kerjasama dengan rakan farmasi komuniti seperti Alpro, kami dapat membawa rawatan ini lebih dekat kepada komuniti dan membantu pesakit meneruskan terapi secara konsisten,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di ibu pejabat Alpro Pharmacy di Sendayan itu turut diserikan dengan sesi perbincangan meja bulat bertemakan “Making Essential Immunology & Oncology Medicine Accessible, Affordable, and Convenient for All”.
Sesi tersebut menampilkan panel pakar perubatan tempatan, termasuk Pakar Hematologi Hospital Sultanah Aminah, Dr. Wong Yih Seong, dan Pakar Reumatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Madya Dr. Fariz bin Yahya, bagi membincangkan cabaran akses rawatan serta peranan ubat biosimilar dalam mentransformasi sektor penjagaan pesakit di Malaysia.
