ALPHA Terus Kukuh Nama Dalam Industri Muzik Dengan Single Kedua ‘P. Ramlee & Saloma’
- oleh Mohd Indera
- 21 Jul 2025 12:43 pm

Kumpulan muzik lelaki serantau, ALPHA terus mengukuhkan nama mereka dalam industri muzik tanah air dan serantau menerusi pelancaran single kedua berjudul P. Ramlee & Saloma, yang memperlihatkan sisi versatil serta kematangan muzik kumpulan tersebut.
Selepas mencipta perhatian menerusi lagu debut Mona Lisa (Bang Bang) yang mempertaruhkan konsep pop moden, ALPHA kini tampil dengan pertaruhan baharu iaitu balada yang sarat dengan elemen emosi bagi memperkukuh kedudukan mereka sebagai kumpulan yang tidak takut mencabar kelaziman demi menonjolkan identiti muzik tersendiri.
Single baharu yang diterbitkan Rocketfuel Entertainment itu merupakan hasil ciptaan komposer berbakat Justin Seow, Mohsein Kush dan RFE, yang memberi nafas segar kepada karya berbentuk balada moden.
Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee berkata, pelancaran ALPHA membuktikan komitmen syarikat itu untuk terus memperkasa bakat tempatan dan serantau ke peringkat lebih tinggi.
“ALPHA adalah contoh bahawa bakat Asia Tenggara mempunyai potensi besar dan dengan bimbingan serta platform yang betul, mereka mampu melangkah lebih jauh dalam industri,” katanya.
ALPHA yang terdiri daripada Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky merupakan kumpulan yang lahir menerusi program realiti Big Stage Alpha, sebuah platform yang mengetengahkan bakat lelaki dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia untuk bersaing secara profesional selama lapan minggu.
Program itu menjadi medan penting yang menyatukan tujuh individu berbakat besar bagi membentuk sebuah kumpulan yang kini kian mendapat perhatian peminat muzik serantau.
Kumpulan tersebut dinilai oleh juri berpengalaman seperti Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini sepanjang program berlangsung, sekali gus membuktikan ALPHA bukan sekadar kumpulan biasa tetapi memiliki potensi besar untuk terus berkembang dalam industri.
Single debut mereka, Mona Lisa (Bang Bang) yang dilancarkan pada 6 Julai lalu berjaya meraih lebih 250,000 tontonan di YouTube, sekaligus mencuri perhatian ramai dengan sentuhan penerbitan antarabangsa termasuk Kuizz, James Chaw, Sean Lew, Roland Lim Shi Jie, Tyler Sarfert dan Prem Anand.
Single P. Ramlee & Saloma kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music, manakala video muzik rasmi akan dilancarkan di saluran YouTube RocketFuelNetwork dalam masa terdekat.