ALPHA Cipta Sejarah, Raih Pencalonan Music Awards Japan 2026
- oleh MDaily Editor
- 7 May 2026 1:14 pm
Kumpulan M-pop popular tanah air, ALPHA, melakar sejarah peribadi dan industri muzik negara apabila diumumkan sebagai calon bagi kategori “Best of Listeners’ Choice: International Song” di Music Awards Japan 2026 yang dianjurkan oleh Spotify.
Pencalonan yang diumumkan pada 4 Mei itu menyaksikan ALPHA, yang bernaung di bawah label Rocketfuel Entertainment, menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang tersenarai dalam kategori berprestij tersebut.
Lebih membanggakan, kumpulan yang dianggotai oleh Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Araff, Ray-D, dan Afiq Sky ini bakal bersaing sengit dengan gergasi muzik global seperti Taylor Swift, Justin Bieber, Lady Gaga, Blackpink, TWICE, SEVENTEEN, serta bintang solo BTS, Jin.
Kejayaan ini turut mengangkat lagu hit mereka, “P Ramlee Saloma”, sebagai lagu pertama hasil ciptaan sepenuhnya rakyat Malaysia yang berjaya mara sebagai calon pusingan akhir di anugerah berprestij negara matahari terbit itu.
Mengulas mengenai pencapaian luar biasa itu, salah seorang ahli kumpulan, Daniel Sher menyifatkan ia sebagai satu mimpi yang menjadi kenyataan.
“Pencalonan ini benar-benar memberi makna besar buat kami. Ia membuktikan bahawa muzik yang kami hasilkan mampu melangkaui sempadan, dan kami sangat bersyukur kerana dapat berkongsi detik ini dengan peminat yang sentiasa menyokong kami sejak hari pertama,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak kemunculannya, ALPHA telah membuktikan pengaruh besar mereka dengan mencatat lebih 60 juta penstriman keseluruhan.
Lagu “P Ramlee Saloma” sebelum ini pernah menduduki tangga nombor satu di carta Spotify Malaysia Daily Top Songs selama 30 hari berturut-turut, selain mengungguli carta RIM.
Sementara itu, Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Anand berkata, pengiktirafan ini adalah bukti kualiti bakat tempatan yang kini setaraf dengan artis antarabangsa.
“Ia hasil kerja keras, konsistensi dan kepercayaan terhadap visi muzik yang mereka bawa. Kami amat bangga dengan pencapaian ini,” katanya.
Sebagai hadiah buat peminat, ALPHA turut mengumumkan bakal melancarkan album sulung mereka pada 15 Jun depan. Album tersebut disifatkan sebagai naskhah paling peribadi yang mencerminkan identiti matang kumpulan itu sepanjang perjalanan seni mereka.
“Album ini sangat dekat dengan hati kami kerana ia mencerminkan siapa ALPHA sebenarnya—perjalanan kami, jatuh bangun kami, dan juga impian kami,” ujar Afiq Sky.
Orang ramai dan peminat kini boleh mengundi ALPHA melalui kategori “Best of Listeners’ Choice: International Song” di laman rasmi Music Awards Japan sehingga 20 Mei ini.
