Pelakon dan Pelawak, Along Cham, dilaporkan telah ditahan pihak polis di sebuah rumah teres di Cyberjaya selepas dipercayai memiliki dadah jenis ganja. Penahanan ini disahkan oleh Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman.
Dalam serbuan yang dijalankan pada jam 3.10 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang menemui dua paket plastik berisi bahan yang disyaki ganja dengan berat keseluruhan 60.3 gram.
Menurut Norhizam, ujian air kencing yang dijalankan ke atas Along Cham menunjukkan keputusan positif terhadap dadah jenis THC, komponen aktif dalam ganja.
Hasil siasatan mendapati Along Cham, yang berusia 41 tahun dan terkenal sebagai pelakon dan pelawak, tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Walau bagaimanapun, kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat bagi pemilikan dadah dengan jumlah tertentu.
Memetik laporan Kosmo, Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, akan di bawa ke Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Along Cham atau wakilnya berhubung penahanan ini.