All Star Championship Series: Trisha Ooi Tumbangkan ‘Srikandi Maut’
- oleh MDaily Editor
- 4 May 2026 12:30 pm
Pelakon popular tanah air, Trisha Ooi membuktikan kehebatannya bukan sekadar di layar perak, malah mampu menggegarkan gelanggang tinju antarabangsa apabila berjaya menumbangkan wakil Indonesia, Dinda, dalam kejohanan All Star Championship Series: Dubai Edition 2026, semalam.
Trisha, yang mesra dengan gelaran “The Nyx”, mempamerkan semangat juang luar biasa di Round 10 Boxing Club, Dubai, selepas menewaskan pencabar yang dikenali sebagai “Srikandi Maut” menerusi keputusan majoriti juri dengan agregat 29-28.
Perlawanan dalam kategori flyweight itu menyaksikan Trisha pada mulanya bergelut apabila ketinggalan 9-10 pada pusingan pertama akibat asakan agresif lawan. Bagaimanapun, pelakon berusia 26 tahun itu tidak mudah melatah.

Memasuki pusingan kedua dan ketiga, Trisha mula mendominasi gelanggang dengan teknik footwork yang lebih kemas serta serangan balas yang konsisten.
Strategi itu nyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya memenangi dua pusingan terakhir dengan skor 10-9, 10-9 sekali gus memastikan kemenangan mutlak milik Malaysia.
Mengulas mengenai kemenangannya, Trisha melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana mampu membawa pulang kejayaan buat negara dan keluarga tercinta.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Paling penting, saya dapat hadiahkan kemenangan ini untuk mommy dan juga Malaysia. Lawan saya merupakan seorang petinju yang sangat agresif, jadi ini bukan perlawanan yang mudah.
“Saya pegang kata-kata Jack Dempsey iaitu seorang juara adalah mereka yang bangkit walaupun saat mereka tidak berdaya. Itu yang menjadi pembakar semangat saya di pusingan terakhir,” katanya.
Di sebalik kilauan pingat, Trisha mendedahkan bahawa beliau terpaksa menjalani regimen latihan fizikal yang ekstrem dan kawalan diet yang ketat bagi memastikan berat badannya kekal dalam kategori flyweight.
Kejayaan ini turut membuktikan pempengaruh dan selebriti Malaysia mampu bersaing di platform global seperti All Star Championship Series yang turut menghimpunkan peserta dari Jepun, Vietnam, Maghribi dan Rusia.
Selepas tamat “perang” di Dubai, peminat Trisha tidak perlu menunggu lama untuk melihat aksinya semula.
Beliau dijadualkan kembali menghiasi pawagam menerusi filem terbaharunya, Nar’sata: Sekutu Setan, yang bakal ditayangkan di seluruh negara bermula 21 Mei ini.
