Alkhair Malaysia Lantik Ustaz Don Daniyal Untuk Perkasakan Misi Kemanusiaan
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu

Dalam usaha memperkukuh pelaksanaan misi kemanusiaan, Alkhair Malaysia (Pertubuhan Al-Khair Malaysia) dengan sukacitanya melantik Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai Duta Kebaikan Alkhair bagi tahun 2025.
Pelantikan ini bertujuan untuk memperluas jaringan kerja kebajikan Alkhair Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa, di samping memanfaatkan populariti serta pengaruh Ustaz Don Daniyal untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai inisiatif kemanusiaan yang dilaksanakan oleh organisasi ini.
Sebagai simbolik kepada pelantikan ini, satu sesi Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Ustaz Azfar Abdullah, Pengerusi Alkhair Malaysia, dan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.
Kerjasama strategik ini diharapkan dapat memperkasakan usaha menyampaikan mesej kebaikan, memperkukuhkan penyampaian bantuan kepada golongan memerlukan, serta memupuk budaya kebajikan dalam kalangan masyarakat.
Ustaz Azfar Abdullah menyatakan bahawa pelantikan Ustaz Don Daniyal adalah langkah tepat kerana keperibadiannya selari dengan nilai Alkhair Malaysia, dan beliau diyakini mampu menyampaikan mesej kebaikan ke tahap lebih tinggi.
Pertubuhan Al-Khair Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2024 adalah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan fokus kepada kerja kebajikan dan misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.
Pelantikan ini dijangka menjadi titik tolak penting dalam usaha memperkukuhkan pelaksanaan pelbagai program kemanusiaan pada tahun ini.