Aliff Syukri Lancar Samma Bag Denim, Sasar Rekod Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 22 Jul 2025 6:56 pm

Usahawan selebriti terkenal, Dato’ Sri Aliff Syukri Kamarzaman atau lebih dikenali sebagai Papa Laris bakal melancarkan koleksi terbaharu beg tangan keluarannya, Samma Bag Denim Edition yang akan berlangsung secara eksklusif menerusi siaran langsung di TikTok Shop @papalarisofficial pada 3 Ogos 2025, jam 8 malam.
Pelancaran koleksi baharu ini bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, malah Aliff Syukri turut menyasarkan untuk mencipta sejarah tersendiri apabila menyasarkan rekod jualan terpantas mencecah RM1 juta menerusi siaran langsung tersebut.
Hasrat itu sekali gus bakal menyaksikan namanya tercatat dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) di bawah kategori “Kutipan Jualan Bag Tangan RM1 Juta Terpantas Melalui Penstriman Langsung”.
Menurut Aliff Syukri, Samma Bag Denim Edition yang dijual pada harga RM79.90 seunit ini direka menggunakan material denim berkualiti tinggi, selain tampil dengan gaya moden yang memenuhi cita rasa wanita masa kini.
“Saya yakin dengan kekuatan produk tempatan, tambahan pula beg ini bukan sahaja berkualiti, malah harganya sangat berpatutan. Saya mahu membuktikan bahawa jenama saya AS Bag dan Anthon’s Leather mampu menjadi pilihan utama rakyat Malaysia walaupun persaingan begitu sengit,” katanya.
Tambah Aliff Syukri lagi, hasrat untuk mencipta rekod ini timbul selepas ramai pihak mempertikaikan kejayaan jualan bag keluarannya.
“Sejak dahulu lagi saya sering katakan bahawa beg keluaran saya memang laku. Tetapi ada yang mempersoalkan, ‘betul ke beg kau memang laku?’ Jadi mereka cabar saya untuk buktikan,”
“Terus terang saya katakan, saya jarang dedahkan angka sebenar jualan. Tapi dalam dunia perniagaan, khususnya apabila ingin mengukuhkan nama sebagai nombor satu, kita tak boleh sekadar cakap, kita perlukan bukti yang sah. Kalau ada bukti seperti pengiktirafan dari Malaysia Book of Records, barulah kita boleh dengan yakin mengatakan produk kita nombor satu paling laris di Malaysia,” katanya.
Untuk rekod kali ini, Aliff Syukri menyasarkan dua pencapaian serentak iaitu Kutipan Jualan Bag Tangan RM1 Juta Terpantas Melalui Penstriman Langsung dan beg paling laku di pasaran.
Dalam usaha menarik lebih ramai pembeli, beliau turut menawarkan hadiah lumayan menerusi cabutan bertuah seperti kereta, percutian ke Sugeh Resort, barangan emas, perkakas elektrik dan pelbagai hadiah misteri buat pembeli bertuah pada malam tersebut.
Tambah beliau lagi, sebahagian daripada hasil jualan tersebut akan disalurkan ke rumah anak-anak yatim sebagai salah satu usaha berkongsi rezeki jika berjaya mencipta rekod seperti yang diimpikan.
Selain edisi denim yang baharu, Aliff Syukri turut menawarkan koleksi Glossy Samma Bag dengan harga istimewa serendah RM69 menerusi jualan pra-pelancaran.
Dengan sokongan peminat serta pembeli setianya, Dato’ Sri Aliff Syukri optimis misi tersebut akan tercapai, sekali gus mengukuhkan jenama tempatan sebagai produk pilihan rakyat Malaysia.