Ikuti Kami:

Aliff Syukri Catat Sejarah, Raih RM1 Juta Dalam 2 Minit 32 Saat Di TikTok Shop

Aliff Syukri Catat Sejarah, Raih RM1 Juta Dalam 2 Minit 32 Saat Di TikTok Shop

Usahawan selebriti, Dato’ Sri Aliff Syukri, sekali lagi membuktikan pengaruhnya dalam dunia perniagaan digital apabila berjaya mencipta sejarah dengan meraih RM1 juta hasil jualan secara langsung di TikTok Shop dalam tempoh hanya 2 minit 32 saat.

Kejayaan luar biasa ini menyaksikan beliau secara rasmi diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai pemegang rekod baharu bagi kategori The Fastest RM1 Million Handbag Sales Value In A Livestream Sale 2025.

Sijil pengiktirafan diserahkan oleh Puan Siti Nurhanim Mohd Noh, wakil rasmi organisasi tersebut sejurus selepas siaran langsung tamat.

Dalam sesi jualan langsung yang berlangsung pada malam 3 Ogos itu, Aliff mempertaruhkan produk keluarannya AS Bag dan Anthon’s Leather, dengan fokus utama pada Bag Samma Denim Edition yang dijual serendah RM75 seunit.

Sambutan luar jangka daripada pembeli dalam talian menyaksikan lebih 13,000 unit terjual dalam masa kurang tiga minit.

“Ini bukan hanya satu kejayaan peribadi, tetapi juga bukti bahawa produk buatan Malaysia mampu mencipta impak besar dalam platform global seperti TikTok,” kata Aliff yang turut ditemani isterinya, Datin Sri Shahida, sepanjang sesi tersebut.

Lebih membanggakan, pencapaian itu sekaligus memecahkan rekod terdahulu milik Khairul Aming, yang mencatat jualan RM1 juta dalam masa 3 minit 28 saat menerusi produk Sambal Nyet.

Aliff kini memegang gelaran sebagai usahawan terpantas mencatat jualan RM1 juta secara penstriman langsung di Malaysia.

Sesi jualan langsung itu turut dimeriahkan dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah kereta, motosikal, pakej umrah, percutian ke Sugeh Resort serta barangan kemas dan peralatan elektrik kepada 1,000 pembeli bertuah.

Kejayaan ini menandakan era baharu dalam pemasaran produk tempatan melalui platform digital, sekaligus meletakkan Aliff Syukri sebagai ikon niaga digital yang terus relevan dan berpengaruh di mata rakyat Malaysia.

Komen
Loading...