Ikuti Kami:

Aliff Syukri ‘buat hal’ Lagi, Pimpin Konvoi ‘Ali Baba & 40 Pencinta Emas’ di Bukit Bintang

Aliff Syukri ‘buat hal’ Lagi, Pimpin Konvoi ‘Ali Baba & 40 Pencinta Emas’ di Bukit Bintang

Usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri sekali lagi mencuri perhatian warga kota apabila tampil dengan gimik luar biasa ala watak filem klasik, Ali Baba Bujang Lapok, dalam satu perarakan di sekitar Bukit Bintang, baru-baru ini.

Kehadiran beliau yang mengetuai konvoi “Ali Baba dan 40 Pencinta Emas” itu bukan sekadar satu persembahan jalanan, sebaliknya merupakan strategi pemasaran kreatif bagi meraikan pembukaan cawangan baharu Siti Jewels di Bangi.

Menerusi program itu, Aliff yang juga duta jenama berkenaan diiringi barisan 100 ‘hulu balang’, sekali gus mencipta suasana dramatik yang mengimbau karya agung seniman legenda, Tan Sri P. Ramlee.

Bercakap kepada media, Aliff menyifatkan kempen “di luar kotak” itu bertujuan mendekati masyarakat secara langsung selain memberi impak visual yang kuat kepada jenama emas tempatan tersebut.

“Hari ini kita buat kempen yang di luar kotak bagi menarik perhatian pengunjung di sekitar Bukit Bintang. Alhamdulillah, kempen ini mendapat sambutan hangat,”

“Kami turut memberikan hampir RM100,000 kepada pembeli setia Siti Jewels sepanjang perarakan ini berlangsung. Perjalanan kami bermula dari Shah Alam lagi dan ia turut disertai oleh barisan pembeli setia kami,” katanya ketika ditemui pihak media di lokasi acara.

Selain gimik perarakan, Aliff sempat menitipkan pesanan buat kaum lelaki agar tidak berkira untuk melabur dalam perhiasan emas demi insan tersayang.

“Saya harap para suami jangan kedekut dengan isteri. Saya percaya bila kita memewahkan isteri dan ibu, rezeki kita akan lebih murah. Belilah di Siti Jewels kerana harganya RM5 lebih rendah daripada harga pasaran,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Pengasas Siti Jewels, Muhammad Solehuddin Shamsuddin, mengakui keputusan melantik Aliff Syukri sebagai wajah jenama adalah satu pelaburan berbaloi.

Ujar beliau, pengaruh luar biasa yang dimiliki Aliff terbukti apabila jualan syarikat meningkat secara drastik dalam tempoh singkat.

“Walaupun bayarannya mahal, ia sangat berbaloi. Datuk Seri Aliff mempunyai ‘kuasa’ tarikan yang tidak dijangka sehingga jualan kami naik mendadak 10 kali ganda,” dedah beliau.

Jelas Solehuddin, fokus utama Siti Jewels adalah untuk memastikan golongan B40 mampu memiliki perhiasan emas yang berkualiti pada harga yang jauh lebih kompetitif.

“Sasaran utama kami adalah golongan B40. Kami mahu masyarakat tahu bahawa mereka boleh memiliki emas cantik pada harga yang sangat kompetitif tanpa perlu membayar lebih,” katanya.

Pembukaan cawangan di Bangi ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Siti Jewels dalam memperluaskan pengaruh empayar perniagaan emas mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Komen
Loading...