Ikuti Kami:

Alif Teega Didakwa Salah Guna RM63,605.48

Alif Teega Didakwa Salah Guna RM63,605.48

KUALA LUMPUR – Pempengaruh, Alif Teega mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan salah guna harta bagi program infaq iftar dan korban, berjumlah RM63,605.48 pada April serta Jun lalu.

Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi rumah tangga, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan.

“Saya mohon dibicarakan,” kata Alif di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang RM36,047.35 bagi tujuan infaq iftar di Makkah, Syria dan Palestin di CIMB Bank, KL Gateway, di sini pada 26 April lalu.

Sementara pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan wang RM27,558.13 bagi program ‘Jom! sertai infaq daging Qurban’ di bank sama, 15 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan, dia boleh dihukum bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan serta denda.

Pada 11 Julai lalu, seorang pempengaruh dan isterinya ditahan reman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah, bermula 2022 lalu.

Ia susulan, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma, dengan peratusan yang tinggi, pasangan itu juga dikatakan hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.

Bagaimanapun, pasangan itu tampil dan menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.

Sumber
Komen
Loading...