Ikuti Kami:

Alif Teega, Aisyah Hijanah Didakwa Salah Guna Wang Derma RM1.52 juta

Alif Teega, Aisyah Hijanah Didakwa Salah Guna Wang Derma RM1.52 juta

Pempengaruh, Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, masing-masing atas 10 pertuduhan kes salah guna wang derma berjumlah RM1,526,372.16 sejak tiga tahun lalu.

Alif atau Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, dan Aisyah Hijanah Azhari, 26, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

“Faham, mohon dibicarakan,” kata pasangan suami isteri itu.

Mengikut semua pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama, secara tidak jujur menyalahgunakan wang sedekah bagi jumlah berkenaan, dengan nilai terendah ialah RM438.38 sementara tertinggi RM425,890.64.

Ia membabitkan 10 program sedekah iaitu pek makanan, kurma, korban, al-Quran dan set pakaian untuk orang miskin di Makkah serta Madinah, termasuk anak yatim, mangsa banjir di Pantai Timur.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank dan CIMB Bank, Bandar Baru Bangi, di sini antara 11 Mei 2021 hingga 2 Julai lalu.

Tertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Awang Kerisnada membenarkan dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM50,000 dan syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.

“Kedua-dua tertuduh juga tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi,” kata hakim itu yang kemudiannya menetapkan 27 November depan untuk sebutan semula kes.

Pada Jumaat lalu, Alif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas dua pertuduhan salah guna harta bagi program infaq iftar di Mekah, Syria dan Palestin serta korban, berjumlah RM63,605.48 pada April dan Jun lalu.

Sumber
Komen
Loading...