Ikuti Kami:

Alif Harap Aisha Agar Terus Tabah dan Percaya Pada Rezeki

Alif Harap Aisha Agar Terus Tabah dan Percaya Pada Rezeki

Penyanyi dan pelakon Alif Satar memberi kata-kata semangat kepada Aisha Retno selepas konsert penyanyi berbakat itu terpaksa dibatalkan baru-baru ini.

Alif menyifatkan Aisha sebagai seorang yang berbakat luar biasa dan percaya penyanyi muda itu akan terus maju walaupun menghadapi cabaran.

“Aisha sangat berbakat. Kalau nak dibandingkan dengan saya, dia boleh main piano, gitar, menari, rap dan menyanyi lagu Korea. Saya sendiri tak boleh nyanyi lagu dalam bahasa Korea,” ujar Alif.

Berkenaan pembatalan konsert tersebut, Alif melihat ia sebagai perkara biasa dalam perjalanan kerjaya seseorang artis.

“Untuk saya berada pada tahap ini, saya kena melalui banyak perkara. Setakat tak jual tiket (konsert) itu dianggap normal. Saya pernah kena ‘boo’ dengan 3,000 penonton. Jadi, bagi saya, masanya akan tiba dan Aisha akan bersedia,” katanya.

Alif turut berpendapat bahawa bakat Aisha pasti akan menarik minat peminat pada masa akan datang.

“Kalau ikut bakatnya, saya akan bayar untuk tonton Aisha. Dia sangat berbakat dan dari segi persembahan pun, dia baik,” tambahnya.

Menurutnya, masalah teknikal atau kelemahan dalam perancangan pemasaran mungkin menjadi faktor pembatalan konsert tersebut.

Dalam nasihat jujurnya, Alif mencadangkan agar Aisha mempertimbangkan untuk menghasilkan album sebagai langkah untuk mengukuhkan namanya dalam industri muzik.

“Kalau saya boleh bagi nasihat jujur, mungkin hasilkan sebuah album dahulu. Jadi, kita lebih seronok hiburkan orang,” cadang Alif.

Sebagai inspirasi, Alif menceritakan pengalaman seorang penyanyi yang pada awalnya gagal dalam uji bakat namun mencapai kejayaan di Amerika Syarikat.

“Ada seorang penyanyi yang pernah bersama saya hadiri uji bakat. Ketika itu, dia tidak diterima. Namun, apabila dia pergi ke Amerika Syarikat (AS), dia ‘meletup’. Jadi, kita tidak tahu rezeki kita,” katanya, berharap Aisha tidak mudah putus asa.

Alif ditemui semalam di majlis pelancaran kepingan emas dan dinar One Ummah GB Gold Malaysia di GB Gold Malaysia, di mana beliau turut menyampaikan nasihat agar Aisha terus percayakan rezeki dan sentiasa berusaha untuk kejayaan.

Pada hari Sabtu lalu, pihak penganjur mengumumkan bahawa Konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November di Zepp Kuala Lumpur telah dibatalkan kerana jualan tiket yang rendah.

Komen
Loading...