Ikuti Kami:

Album ‘Jati Diri’ Faizal Tahir Satukan Budaya dan Muzik

Album ‘Jati Diri’ Faizal Tahir Satukan Budaya dan Muzik

Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, terus memperkukuhkan namanya dalam industri muzik tempatan dengan pelancaran album terbaru berjudul Jati Diri.

Menggabungkan elemen muzik tradisional dan moden, album ini membawa mesej mendalam tentang kepentingan mempertahankan budaya dan identiti dalam era globalisasi.

Menariknya, Jati Diri hadir dengan konsep unik bertemakan kenduri kendara dan rewang, yang melambangkan nilai kebersamaan dan semangat gotong-royong dalam masyarakat.

Faizal, bersama rakan penerbitnya Glowrush di bawah nama duo ‘Let Zapin’, berusaha memastikan setiap lagu dalam album ini menggambarkan keindahan budaya tempatan tanpa mengabaikan elemen kontemporari.

“Saya ingin membawa muzik yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyampaikan mesej penting tentang jati diri kita sebagai masyarakat yang kaya dengan budaya dan warisan,” ujar Faizal.

Album ini turut menampilkan dua figura hebat industri muzik, Altimet dan Datuk M. Nasir, yang menyumbang kepakaran serta gaya tersendiri dalam membawakan mesej perpaduan dan kebanggaan terhadap budaya.

Lagu Orang Kampung menjadi taruhan pertama untuk memperkenalkan Jati Diri kepada peminat. Dengan susunan muzik yang rancak serta lirik yang meraikan keunikan kehidupan desa, lagu ini diharapkan dapat membangkitkan nostalgia serta kebanggaan terhadap budaya tempatan.

Faizal juga menegaskan bahawa Jati Diri bukan sekadar album, tetapi sebuah karya yang bertujuan menyatukan muzik dan budaya agar terus relevan dalam kalangan generasi muda.

Komen
Loading...