Album “As The Sky Turns Black” Kembali Dalam Format Digipak Selepas 31 Tahun – Sejarah Hidup Kembali
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Kumpulan Nebiras mencipta sejarah baharu apabila album ikonik mereka, As The Sky Turns Black, diterbitkan semula dalam format Digipak CD setelah kali pertama dilancarkan 31 tahun lalu.
Album ini mengekalkan nilai sejarah mendalam dalam muzik underground Malaysia, dan pelancarannya semula menjadi berita yang dinanti-nantikan oleh peminat setia.
Ditubuhkan pada 1988 di Taman Medan, Petaling Jaya, Nebiras pada asalnya dikenali sebagai Necrofist. Logo kumpulan ini direka oleh Aman, vokalis Profancer dari Singapura, mencerminkan inspirasi kuat mereka daripada kumpulan thrash dan death metal seperti Sacrifice, Kreator, Sarcofago, dan Sodom.
Album sulung mereka ini dirakam pada pertengahan 1992 di Studio BT Production, Subang Jaya, dan menampilkan barisan ahli asal seperti Nocturno Belial (vokal), Y. Occultus (gitar), Omen de Nefarious (bass), Agathos Daemon (gitar), dan Mutilated (dram).
Album As The Sky Turns Black mula diterbitkan dalam bentuk kaset oleh Dark Journey Records pada 1993, di mana ia mendapat sambutan luar biasa sehingga kehabisan stok.
Dengan permintaan yang berterusan, MoonDusk Production melalui inisiatif Raziq dan Azrin kini mengembalikan album ini dalam format Digipak CD, lengkap dengan penambahbaikan dari segi audio dan visual.
Rekaan asal oleh Shah Jehan dari Rator dikemaskini oleh Zul Apache, menambah aura baharu kepada album ini.
Proses penukaran album dari analog kepada digital dilakukan dengan teliti di Oslo, Norway, oleh Øystein Moe, diikuti mastering oleh AP Filthgrindz di Filthgrindzworks.
Album ini adalah antara karya terawal dalam sejarah muzik underground tempatan dan kekal menjadi rujukan bagi peminat muzik metal Malaysia.
Nebiras turut mendapat pengaruh dari kumpulan black metal ternama seperti Dark Throne, Mayhem, Beherit, dan Varathron, yang menyumbang kepada keunikan muzik mereka.
Namun, perjalanan kumpulan ini turut diwarnai tragedi apabila gitaris asal mereka, Y. Occultus, meninggal dunia dalam kemalangan pada 1994. Meskipun kehilangan ini amat dirasai, Nebiras terus bertahan dan mengekalkan kedudukan mereka dalam industri.
Kini, dengan harga RM35 seunit, versi Digipak As The Sky Turns Black dilengkapi poster percuma dan dicetak dalam kuantiti terhad. Album ini akan mula dijual pada 27 Oktober 2024 di kedai muzik dan melalui wakil distro.
Foto Ole: Pa Pa Din (Amoz)