
Syarikat pelancongan, Al-Balad Travel & Tours Sdn Bhd, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka terlibat dalam penipuan membabitkan tawaran pakej haji percuma seperti yang didakwa oleh Dato’ Sri Siti Nur Atiqah Baba dalam satu sidang media yang dimuat naik ke media sosial pada 8 Jun lalu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guaman Tetuan Lainah Yaacob & Zulkepli, syarikat berkenaan menjelaskan bahawa mereka hanya berperanan sebagai penyedia perkhidmatan logistik seperti pengurusan bagasi dan bukannya pihak yang menawarkan atau menguruskan aspek kewangan, visa atau penerbangan program haji tersebut.
“Anakguam kami hanya menawarkan perkhidmatan secara bersyarat, bergantung kepada kelulusan visa jemaah oleh Kedutaan Arab Saudi serta pengesahan penerbangan yang diuruskan oleh pihak penaja,” menurut kenyataan itu.
Pihak Al-Balad turut memetik laporan polis bertarikh 1 Jun 2025 yang dibuat oleh Dato’ Sri Siti Nur Atiqah sendiri, di mana beliau mengakui bahawa syarikat tersebut hanya terlibat dalam pengurusan bagasi dan tidak mempunyai kaitan dengan aspek kewangan.
Sehubungan itu, Al-Balad memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan kenyataan tidak tepat dan berunsur fitnah terhadap syarikat dan pengurusannya.
“Anakguam kami akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk prosiding undang-undang jika perkara ini terus disebarkan,” tegas kenyataan itu.
Terdahulu, Dato’ Sri Siti Nur Atiqah melalui satu sidang media mendakwa bahawa beliau telah menerima surat tawaran daripada pihak agensi bernama Al-Balad untuk menunaikan haji secara tajaan penuh, namun mendakwa pihak agensi tersebut tidak mengaku terlibat.
Penafian: Pihak mDaily tidak terlibat atau bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan yang dibuat oleh pihak ketiga. mDaily sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai saluran media dengan melaporkan berita berdasarkan sidang media yang dijemput hadir atau kenyataan media yang diterima untuk siaran.