Ikuti Kami:

‘Aku Rindu’ Luahan Hati Khai Bahar, Kenang Arwah Ibu Dalam Single Raya Terbaharu

‘Aku Rindu’ Luahan Hati Khai Bahar, Kenang Arwah Ibu Dalam Single Raya Terbaharu

Penyanyi popular, Khai Bahar, kembali mengusik jiwa peminat menjelang sambutan Aidilfitri menerusi pelancaran single Raya terbaharunya berjudul “Aku Rindu”.

​Diterbitkan di bawah label Sony Music Entertainment Malaysia, karya ini merupakan hasil sentuhan komposer tersohor, Farouk Roman, dengan bait-bait lirik puitis nukilan Adrianna Cinta.

​Berbeza dengan rentak lagu Raya yang kebiasaannya ceria, “Aku Rindu” tampil sebagai sebuah balada dramatik dan melankolik.

Ia membawa pendengar menyelami gelombang rindu Khai terhadap arwah ibu tercinta yang telah pergi, sekali gus menjadikan Syawal kali ini lebih reflektif dan penuh makna.

​Bagi Khai, single ini bukan sekadar halwa telinga untuk musim perayaan, tetapi sebuah naskhah peribadi yang lahir daripada lubuk hatinya sendiri.

​“Lagu ini lebih reflektif dan emosional. Ia bukan sekadar untuk sambutan, tetapi untuk dirasai, terutama bagi mereka yang berjauhan atau kehilangan insan tersayang,” jelas Khai.

​Perjalanan emosi lagu ini disusun dengan teliti, bermula dengan penceritaan yang jujur, diikuti pra-korus yang membangkitkan perasaan, sebelum dilepaskan sepenuhnya pada bahagian korus yang sarat dengan rintihan rindu.

​Khai mengakui rakaman kali ini menuntut penghayatan yang tinggi serta kawalan vokal yang mantap, terutama pada bahagian puncak lagu.

​Sepanjang proses di studio, Khai diberikan ruang sepenuhnya untuk mendalami mood lagu, malah ada beberapa bahagian yang diulang rakam berkali-kali demi mencapai tahap keikhlasan yang dimahukannya.

​“Saya harap bila orang dengar kali pertama, mereka terus rasa tersentuh. Kalau lagu ini boleh buat orang diam sejenak dan rasa sesuatu dalam hati, itu sudah cukup bermakna bagi saya,” tambahnya lagi.

​Single “Aku Rindu” kini sudah boleh didapati di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube.

Loading...