“Aku Bukan Untukmu” – Anggi Marito, Lagu Ikonik Rossa Diberi Nafas Baru
- oleh Mohd Indera
- 3 Mar 2025 1:58 pm

Penyanyi berbakat Indonesia, Anggi Marito, tampil dengan versi terbaru lagu “Aku Bukan Untukmu”, sebuah karya ikonik yang pernah dipopularkan oleh Rossa pada tahun 2004.
Lagu ini, yang dicipta oleh Aji Mirza Hakim atau lebih dikenali sebagai Icha Jikustik, kini diberi nafas baru dengan susunan muzik lebih moden di bawah label Universal Music Indonesia.
Mengangkat tema penyesalan cinta, lagu ini menggambarkan kisah seseorang yang tidak menghargai cinta sejati sehingga akhirnya kehilangan orang yang benar-benar menyayanginya.
Anggi Marito mengakui bahawa membawa semula lagu yang begitu sinonim dengan suara Rossa adalah satu cabaran besar.
“Saya sangat gugup kerana lagu ini sudah melekat dengan gaya dan jiwa Teh Ocha (Rossa). Cabaran utama adalah bagaimana memberikan sentuhan segar tanpa menghilangkan keaslian lagu ini. Namun, saya akhirnya berpuas hati dengan hasilnya,” kata Anggi.
Dari sudut produksi, versi baru “Aku Bukan Untukmu” hadir dengan susunan muzik yang lebih moden. Jika versi asal menekankan elemen piano dan string, versi Anggi kali ini mengetengahkan beat yang lebih dinamik dengan sentuhan Budapest Scoring Orchestra, memberikan elemen megah dalam beberapa bahagian.
Di bawah bimbingan produser S/EEK, lagu ini disusun semula agar lebih sesuai dengan karakter vokal Anggi Marito.
Sepanjang proses rakaman, Anggi turut menerima bimbingan dari pengarah vokal Barsena Bestandhi.Menurutnya, salah satu cabaran terbesar adalah improvisasi vokal, yang memerlukan penyesuaian dari segi teknik nyanyian dan penyampaian emosi.
Menariknya, Anggi berpeluang bertemu dengan Rossa secara langsung semasa proses rakaman. Rossa sendiri memuji hasil kerja ini dan mengakui bahawa versi baru lagu tersebut memberikan pengalaman mendengar yang berbeza.
“Saya sangat suka dengan hasilnya. Karakter vokal Anggi memberikan warna baru, segar dan penuh emosi. Susunan muziknya juga sangat memukau tanpa menghilangkan nuansa klasiknya,” ujar Rossa.
Anggi dan Rossa berharap versi terbaru “Aku Bukan Untukmu” dapat diterima baik oleh pendengar, bukan hanya sebagai kenangan indah bagi generasi lama, tetapi juga sebagai karya yang boleh dinikmati oleh generasi baharu.
“Harapan saya, lagu ini tidak dibandingkan dengan versi asal, tetapi dinikmati sebagai satu interpretasi yang berbeza. Apa pun versinya, lagu ini tetap indah,” tambah Anggi.
Versi baru “Aku Bukan Untukmu” kini boleh didengarkan di semua platform muzik digital.