
Lagu tema drama adaptasi Dia Bukan Syurga berjudul “Aku Bukan Narsisis” yang didendangkan oleh Hazama membuka sisi gelap dan realiti sebenar mengenai cinta toksik dalam perhubungan.
Lagu yang dilancarkan secara rasmi hari ini di A Quiet Place, Bukit Bintang itu mendapat perhatian ramai kerana membawa mesej mendalam berkaitan konflik emosi dan penderaan psikologi dalam rumah tangga
Menurut Hazama, karya ini bukan sekadar runut bunyi tetapi sebuah penceritaan dari sudut pandang seorang lelaki bernama Tajul, watak utama dalam drama Dia Bukan Syurga.
Lagu ciptaan dan terbitan Farouk Roman dengan lirik nukilan Hazama dan Zel Hadauan ini memberi wajah kepada dilema emosi yang dialami Tajul, seorang suami yang kelihatan mengawal dan cemburu, namun hakikatnya terperangkap dalam rasa takut kehilangan dan obsesi terhadap kesempurnaan dalam cinta.
Hazama mengakui beliau tertarik untuk melibatkan diri dalam projek ini kerana merasakan lagu ini mampu membuka mata masyarakat terhadap isu cinta beracun yang sering disalah tafsir sebagai tanda kasih sayang.
“Lagu ini bukan sekadar kisah Tajul. Ia adalah suara ramai yang pernah bergelut dalam hubungan penuh tekanan. Saya mahu pendengar rasa dan faham bahawa ada sisi lain di sebalik sikap seseorang,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri wakil Sony Music Malaysia.
Lagu “Aku Bukan Narsisis” menjadi lagu tema utama bagi drama Dia Bukan Syurga, adaptasi novel karya Rissa Ahdiya yang akan mula ditayangkan di Slot MegaDrama, Astro Ria bermula 19 Mei 2025.
Drama arahan Rashid Sibir terbitan Radius One Sdn Bhd ini dibintangi Ezzanie Jasny, Niezam Zaidi dan Nazim Othman.
Mengangkat tema perkahwinan yang dilihat bahagia di luar tetapi bergolak di dalam, drama ini menyentuh isu emosi tidak stabil, penderaan psikologi dan trauma pasca hubungan toksik.
Watak Nuha yang dilakonkan Ezzanie Jasny berdepan tekanan rumah tangga apabila suaminya, Tajul, yang dilakonkan Niezam Zaidi, mula menunjukkan sifat panas baran dan terlalu cemburu.
Dengan susunan muzik yang dramatik dan vokal Hazama yang penuh ekspresi, lagu ini menambah kesan dramatik dalam naratif drama serta memberikan dimensi baharu kepada karakter Tajul yang rumit dan penuh emosi.
Lagu ini boleh didengari di semua platform digital bermula 16 Mei 2025 manakala Dia Bukan Syurga akan menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan On Demand.