Ikuti Kami:

Aktiviti Sihat, Saringan Percuma Sempena Hari Jantung Sedunia 2025

Aktiviti Sihat, Saringan Percuma Sempena Hari Jantung Sedunia 2025

Institut Jantung Negara (IJN) membuka peluang kepada masyarakat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan jantung secara percuma sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 yang berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara bermula 24 hingga 28 September ini.

Dengan tema “It’s Not Just a Game, It’s About Your Heart!”, acara ini memberi tumpuan kepada aspek pencegahan awal penyakit jantung melalui aktiviti saringan, demonstrasi kecemasan serta senaman kesihatan yang sesuai untuk semua peringkat usia.

Pengunjung berpeluang menjalani Electrocardiogram (ECG) dan Echocardiogram (ECHO) secara percuma, dengan bimbingan pakar IJN yang akan menerangkan hasil saringan serta memberikan nasihat lanjut.

Inisiatif ini penting kerana penyakit jantung masih menjadi punca utama kematian di Malaysia.

Menurut Dato’ Akmal Arief Mohamed Fauzi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, acara ini bukan sekadar platform kesedaran, malah memperkenalkan masyarakat kepada peranan luas yang dimainkan oleh IJN.

“Kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan semakin meningkat, namun penyakit jantung masih pembunuh nombor satu di negara ini. Program seperti ini memberi peluang orang ramai untuk menjalani pemeriksaan asas dengan mudah,”

“Setakat ini lebih 1,000 pengunjung telah hadir, dan kita menjangka jumlah itu akan meningkat menjelang hujung minggu,” katanya.

Dato’ Akmal Arief Mohamed Fauzi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN.

Beliau turut menyatakan harapan IJN agar masyarakat menjadikan penjagaan kesihatan sebagai amalan hidup dan melihat program kesedaran sebegini sebagai peluang penting untuk mencegah penyakit lebih awal.

“Harapan kami di IJN ialah masyarakat menjadikan penjagaan kesihatan sebagai satu tabiat harian. Sambutan Hari Jantung Sedunia ini juga membuktikan ramai yang semakin peka terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan,”

“IJN akan terus memainkan peranan sebagai pusat kardiovaskular unggul di rantau ini dengan memperkenalkan rawatan serta teknik baharu demi manfaat pesakit dan masyarakat umum,” jelasnya.

Selain pemeriksaan, pengunjung juga boleh menyertai demonstrasi CPR, cabaran kecergasan seperti K-Pop Zumba dan Red Light Green Light, serta pertandingan memasak sihat melalui Wholesome Meal Challenge.

Aktiviti berbentuk hiburan ini direka khas untuk menarik minat keluarga sambil menyampaikan mesej mengenai pentingnya penjagaan jantung.

Kempen kali ini disokong oleh rakan strategik seperti Libroff, Blackmores, Nestlé Omega Plus, Kitchen Shop, Viatris, Mamee, Ogawa, HHH.MY Fat Bike Specialist dan Adabi, yang turut mempromosikan produk mesra jantung dan tawaran istimewa sepanjang acara.

Masuk adalah percuma, dan masyarakat disaran mengambil peluang ini untuk mengetahui tahap kesihatan mereka serta memulakan gaya hidup yang lebih sihat.

Komen
Loading...