Akta 852: Pemain Industri Vape Mohon PMX Teliti Garis Panduan KKM
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu
PUTRAJAYA – Pemain industri vape tempatan, yang menyumbang lebih RM100 juta setahun dalam cukai, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan mengenai peraturan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Permintaan ini dibuat oleh lima persatuan vape tempatan yang mewakili lebih 2,000 pemain industri melalui memorandum yang dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri.
Antara persatuan yang terlibat adalah Malaysia e-Vaporizers and Tobacco Alternative Association, Malaysia Retail Electronic Cigarette Association, Dewan Perniagaan Vape Malaysia, Malaysian Vape Industry Advocacy, dan Persatuan Peniaga Vape Melayu.
Menurut Presiden Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Datuk Adzwan Manas, mereka berharap Perdana Menteri dapat meneliti garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dianggap menyukarkan industri sebelum Belanjawan 2025 pada bulan Oktober.
“Hari ini, kami dari lima persatuan vape menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri tentang hasil taklimat KKM baru-baru ini. Kami merasakan sebahagian garis panduan tidak memenuhi keperluan industri kami, jadi perlu ada kajian semula dan sesi libat urus bersama pemain industri,” katanya.
Intipati taklimat KKM mengenai peraturan yang akan diperkenalkan pada Oktober 2024 di bawah Akta 852 termasuk larangan produk vape di kedai serbaneka dan had isipadu cecair vape.
Adzwan berharap Perdana Menteri dapat mempertimbangkan situasi ini kerana ramai pemain industri adalah anak muda yang ingin berjaya sebagai usahawan.
“Peraturan akan dikuatkuasakan bulan depan dan ini tidak adil bagi kami kerana tempoh yang diberikan terlalu singkat tanpa proses peralihan untuk bersedia,” katanya.
Beliau juga menyatakan yuran RM5,000 untuk pendaftaran produk vape dianggap terlalu tinggi dan seharusnya lebih rendah, antara RM500 hingga RM900.
Penetapan isipadu cecair tidak melebihi tiga ml untuk pod dan kartrij serta 15ml untuk botol dianggap drastik. Pemain industri lebih suka agar perubahan ini dilakukan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun.
Ridhwan Rosli, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia, menambah larangan untuk produk vape dilihat di tempat jualan akan memberi kesan kepada peruncit kerana mereka perlu mengubahsuai kedai.
Beliau juga menyatakan belum ada negara lain yang mengenakan larangan seperti itu untuk produk vape, kerana ia dianggap kurang berbahaya berbanding rokok.