Ikuti Kami:

Aksi, Dendam Dan Air Mata: ‘MAK #SalamDariSyurga’ Di Pawagam 22 Januari Ini

Aksi, Dendam Dan Air Mata: ‘MAK #SalamDariSyurga’ Di Pawagam 22 Januari Ini

Industri perfileman tanah air bakal membuka tirai tahun 2026 dengan sebuah naskhah sarat emosi dan debaran menerusi filem MAK #SalamDariSyurga yang dijadualkan menjengah pawagam seluruh negara bermula 22 Januari ini.

Filem terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Awal Muzik ini bukan sekadar naskhah aksi biasa, malah ia mengangkat tema kasih sayang suci seorang anak terhadap ibunya yang diuji dengan konflik gelap dunia jenayah.

Mengambil latar sebuah kampung di Negeri Kedah, filem ini mengisahkan Aman (lakonan Azman Ahmad) yang terperangkap dalam dilema apabila terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia yang diketuai oleh Edy (Megat Sharizal).

Keadaan menjadi parah apabila Aman menjadi buruan pihak polis selepas satu serbuan di sempadan negara. Enggan menyerah diri kerana ingin membersihkan namanya di mata ibunya, Nor (Datuk Fauziah Nawi), Aman terpaksa bertahan hidup (survive) di dalam hutan selama berminggu-minggu demi pulang menemui syurganya itu.

Pengarahnya, Hj Hafiz Nafiah, menyifatkan penggambaran filem ini sebagai satu cabaran besar, terutama apabila barisan pelakon dan kru perlu berkampung di dalam hutan.

“Cabaran paling tinggi adalah apabila kita perlu menjalani penggambaran outdoor. Kami berkampung selama dua hari dua malam di dalam hutan hanya untuk menyiapkan satu babak demi memastikan kualiti visual yang terbaik,” katanya kepada media di Majlis Tayangan Perdana yang berlangsung di TGV One Utama, semalam.

Beliau turut memuji komitmen barisan pelakon yang memberikan “jiwa” sepenuhnya kepada watak masing-masing, memudahkan tugasnya selaku pengarah.

Penerbit yang juga pelakon utama, Azman Ahmad, menjelaskan bahawa pemilihan pelakon dibuat dengan teliti bagi memastikan setiap watak mempunyai impak tersendiri.

“Saya mengekalkan Datuk Fauziah Nawi sebagai ‘Mak’ kerana kredibiliti beliau tidak perlu dipertikaikan lagi. Selain itu, kehadiran pelakon berbakat seperti Izzy Reef, yang merupakan pemenang anugerah, memberikan keseimbangan kepada naskhah ini,” ujarnya ketika ditemui pada majlis yang sama.

Menurut Azman, skrip filem ini turut melalui proses rombakan sebanyak empat kali bagi memastikan ia tampil dengan motivasi yang lebih berat dan relevan dengan realiti masyarakat hari ini.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Izzy Reef, Ruzaidi Abd Rahman, Firdaus Ghufran, Iman Darwisy, Dina Allysha, dan ramai lagi.

MAK #SalamDariSyurga menjanjikan sebuah perjalanan emosi yang mencengkam daripada dendam yang membara sehingga kepada pengorbanan yang merobek jiwa.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya di pawagam berhampiran anda pada 22 Januari 2026.

Komen
Loading...