Ikuti Kami:

Akim & The Majistret “Rampas Kuala Lumpur” Dengan Konsert Solo Pertama di Mega Star Arena

Akim & The Majistret “Rampas Kuala Lumpur” Dengan Konsert Solo Pertama di Mega Star Arena

Kumpulan rock tersohor tanah air, Akim & The Majistret, bersiap sedia untuk merampas ibu kota menerusi konsert solo pertama mereka yang dinamakan Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur, yang akan berlangsung pada 28 Jun 2025, bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Mengambil inspirasi daripada lagu popular mereka Rampas, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya merupakan sebuah deklarasi berani bahawa kumpulan ini kini bersedia untuk mengukuhkan kedudukan sebagai antara nama terbesar dalam landskap muzik Malaysia.

Lagu tersebut, yang mencerminkan kekuatan dan karisma mereka, turut menjadi simbol semangat utama konsert ini.

Lebih daripada 20 buah lagu dijangka dipersembahkan dalam konsert berdurasi lebih dua jam ini, yang akan menampilkan elemen muzik, visual dan naratif kreatif yang membawa penonton menyertai sebuah misi “rampasan kuasa” artistik – satu pendekatan yang belum pernah dilihat dalam konsert tempatan sebelum ini.

Menambah kelainan, kumpulan ini memperkenalkan watak Komander Akim dan Tentera Majistret, satu konsep unik yang meletakkan peminat sebagai sebahagian daripada misi.

Pemegang tiket secara automatik akan diiktiraf sebagai Perisik Majistret, memainkan peranan penting dalam menjayakan “rampasan” malam itu menerusi sorakan, nyanyian dan penyertaan dalam misi khas yang akan diumumkan menjelang hari konsert.

Tiket-tiket kini boleh didapati secara dalam talian di www.ticket2u.com.my/rampas, dengan harga bermula dari RM159 hingga RM249, bergantung kepada kategori tempat duduk. Kategori VIP dilaporkan telah habis dijual, menunjukkan sambutan hangat peminat terhadap konsert ini.

Akim & The Majistret merupakan sebuah kumpulan ‘all-star’ yang dianggotai oleh pemuzik berpengalaman daripada kumpulan ternama, menjadikan mereka salah satu barisan paling mantap dalam industri muzik tempatan.

Kumpulan ini diterajui oleh Akim Ahmad selaku vokalis utama, dengan Wan dari 6ixth Sense di posisi dram, Freddy dari Hyper Act di bahagian gitar, Fairuz daripada Sofazr sebagai pemain bass, dan Afiez Azam dari New Boyz di posisi keyboard.

Melengkapkan barisan ialah Gjie dari 6ixth Sense dan Zimi dari Sofazr, masing-masing sebagai pemain gitar. Gabungan ini menjadikan Akim & The Majistret sebuah kumpulan yang memiliki kepelbagaian gaya dan kekuatan muzik tersendiri.

Kumpulan ini telah mencipta pelbagai kejayaan menerusi lagu-lagu hit seperti Potret, Mewangi, Obses, dan tentunya Rampas, yang kini menjadi nadi utama kepada tema konsert ini.

Konsert ini dianjurkan oleh Showtag Entertainment, dibawakan khas oleh Juragan, dengan Racus Studio selaku rakan kreatif rasmi, dan turut mendapat sokongan media daripada radio Era, Sinar, dan THR Gegar.

Sebagai sebahagian daripada promosi, peminat juga berpeluang memenangi tiket percuma dan merchandise eksklusif dengan mengikuti akaun rasmi @showtagasia di Instagram dan TikTok.

Komen
Loading...