Akim & The Majistret Rampas Hati 5,000 Peminat di Mega Star Arena
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Akim & The Majistret berjaya mencipta malam penuh magis apabila hampir 5,000 peminat memenuhi Mega Star Arena untuk menyaksikan konsert sulung mereka, ATM Rampas, Sabtu lalu.
Konsert selama dua jam itu menampilkan lebih 20 lagu ikonik, dimulakan dengan persembahan bertenaga menerusi Terlalu Mudah dan Roulette, sebelum diteruskan dengan Stereotype dan Anugerah yang membawa penonton menyelami pelbagai emosi.
Lagu-lagu lain seperti Sisaku, Inilah Cinta, dan Selamanya menyemarakkan suasana sebelum segmen puncak dengan Saksama, Yang Satu, dan Rampas yang dibawakan sebagai penutup dalam gimik blackout.
Salah satu momen istimewa dalam konsert ini ialah persembahan lagu Cinta yang asalnya dinyanyikan oleh Marsha Milan, serta Bunga yang dinyanyikan oleh Ara Johari.
Kedua-dua lagu tersebut merupakan ciptaan Akim sendiri, membuktikan bakatnya bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga sebagai komposer berbakat.
Akim dalam sidang media selepas konsert meluahkan rasa terharu dengan sokongan luar biasa peminat.
“Saya sangat-sangat terkejut dan berbesar hati melihat sokongan daripada semua yang hadir. Perjalanan 11 tahun kami tidak mudah, tetapi malam ini menjadi satu momen yang sukar digambarkan,”
“Ketika sesi pembukaan tadi, saya hampir menangis kerana terharu, tetapi sokongan daripada rakan-rakan dan peminat menguatkan semangat saya,” katanya.
Konsert Rampas menjadi titik penting dalam perjalanan muzik mereka, membuktikan hubungan erat antara kumpulan ini dengan peminat yang digelar “Perisik Majistret”.
Dengan kejayaan ini, Akim & The Majistret pasti akan terus mencipta sejarah dalam industri muzik tanah air.