Akhirnya! Konsert “For You: Nourul”, Raikan 30 Tahun Legasi Nourul Depp
- oleh MDaily Editor
- 2 Dec 2025 9:37 pm
Setelah tiga dekad mewarnai industri muzik tempatan, penyanyi bertenaga, Nourul Depp, akhirnya bakal kembali ke pentas besar dengan penganjuran konsert solo eksklusif berskala premium bertajuk “For You: Nourul” pada 17 April 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert yang dianjurkan oleh syarikat pengurusan acara dan produksi hiburan, Rong Geng Entertainment, ini diraikan khusus bagi menghargai legasi, ketekunan, dan evolusi seni Nourul sejak beliau mula berkarya pada era 90-an.

Pengarah Rong Geng Entertainment, Muhammad Fared Bin Kuswadinata, berkata konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu perayaan kehidupan, ketabahan, dan perjalanan seni yang membentuk Nourul hari ini.
“Konsert ini adalah hadiah buat peminat, rakan industri, dan seluruh rakyat Malaysia yang menyokong karya Nourul selama lebih 30 tahun. Kami mahu penonton merasai perjalanan itu secara visual, emosi dan muzik,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Heritage Club, The Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Konsert yang bakal bermula jam 8.00 malam ini dijangka menghimpunkan lebih 1,500 penonton dan menjanjikan produksi pentas moden, susunan muzik segar, serta elemen visual premium yang akan membawa penonton menyelusuri era muzik Nourul yang penuh warna.

Nourul, yang dikenali dengan keunggulan vokal dan kecergasannya, meluahkan rasa syukur dan emosi atas kesempatan mengadakan konsert berskala besar ini.
“Ini adalah antara impian saya yang lama tertangguh. Akhirnya, saya dapat berikan sebuah persembahan yang benar-benar mencerminkan siapa saya sebagai seorang penyanyi, seorang wanita, seorang insan,” kongsinya.
Beliau turut berjanji untuk memberikan persembahan yang paling peribadi, jujur, dan bertenaga dalam kerjayanya.
Buat pertama kalinya, peminat akan dibawa menikmati rangkaian lagu hit beliau, bermula daripada era pop 90-an sehinggalah single popular era 2000-an, yang mempamerkan kematangan vokal dan emosi beliau.
Persembahan juga bakal menampilkan segmen akustik yang intim iaitu “intimate storytelling” khas buat peminat tegar, di samping kolaborasi bersama pemuzik profesional tempatan serta tribut visual yang mengimbau pencapaiannya.
Tiket untuk menyaksikan Konsert For You: Nourul mula dijual hari ini (2 Disember 2025), bermula jam 12:00 tengah hari di platform rasmi ticket2u, dengan harga serendah RM105 (GOLD) hingga RM355 (VIP).




