Ikuti Kami:

Akhirnya Kamu: Duet Bella Astillah dan Daniesh Suffian Penuh Makna Tentang Cinta dan Kesabaran

Akhirnya Kamu: Duet Bella Astillah dan Daniesh Suffian Penuh Makna Tentang Cinta dan Kesabaran

Penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah, kembali mencuri perhatian dengan single duet terbaharu berjudul “Akhirnya Kamu” bersama penyanyi dan komposer muda berbakat, Daniesh Suffian.

Lagu ini bukan sekadar karya romantik, tetapi sebuah kisah tentang kesabaran, kebahagiaan, dan kekuatan cinta sejati.

Karya ciptaan Azlan Abu Hassan, Omar K, Bella dan Daniesh ini membawa gabungan vokal harmoni dua generasi artis, menghasilkan lagu yang bukan sahaja menyentuh emosi, tetapi juga memberi inspirasi kepada pendengar untuk terus percaya pada cinta dan ketulusan hati.

Menurut Bella atau nama lengkapnya Dayang Nabellah Awang Astillah, “Akhirnya Kamu” merupakan cerminan perjalananhidupnya yang penuh warna dan makna, manakala kerjasama dengan Daniesh berjalan lancar kerana keserasian mereka dalam mencipta hasil yang istimewa.

“Lagu ini sangat peribadi buat saya. Ia seperti cerminan sebahagian diri saya yang dizahirkan dalam bentuk muzik. Saya ingin hadiahkan lagu ini kepada peminat yang sentiasa minta saya tampil dengan lagu yang bahagia dan positif,”

“Daniesh memahami suara saya dan tahu cara terbaik untuk sesuaikan harmoni kami. Kami berdua berusaha sebaik mungkin untuk pastikan hasil akhir lagu ini benar-benar istimewa,” katanya.

Sementara itu, Daniesh Suffian, yang mula mencipta nama menerusi lagu “Terabadi” dan “Pilihlah Aku”, menyifatkan lagu ini sebagai hasil doa dan sokongan peminat yang mahu melihat mereka tampil dengan duet rasmi.

“Ramai peminat minta kami hasilkan lagu bersama selepas lihat kami sering buat cover lagu di media sosial. Dari situ tercetus idea untuk cipta ‘Akhirnya Kamu’,

“Saya tulis lagu ini dengan niat untuk beri semangat kepada Bella. Saya mahu lagu ini jadi simbol kekuatan dan harapan untuk dia serta semua yang pernah melalui cabaran dalam hidup,” katanya.

Muzik video “Akhirnya Kamu” turut menerima sentuhan istimewa dengan jalan cerita yang menggambarkan dua insan yang pernah terluka akhirnya menemui cinta sebenar.

“Ia kisah dua individu yang menutup hati selepas kecewa, tetapi akhirnya bertemu seseorang yang menghidupkan semula makna cinta dalam hidup mereka,

“Rakaman MV sangat menyeronokkan, dengan lokasi menarik dan pasukan produksi yang profesional. Hasil akhirnya melebihi jangkaan saya,” katanya.

Bagi Bella, “Akhirnya Kamu” membuka peluang untuknya keluar daripada zon selesa dengan menonjolkan sisi dirinya yang lebih lembut dan ceria, sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang terus memberi sokongan.

“Biasanya saya nyanyi lagu-lagu yang kuat dan beremosi, tapi kali ini saya pilih sesuatu yang lebih lembut dan bahagia. Lagu ini saya tujukan khas untuk peminat yang sentiasa menyokong perjalanan saya,” katanya.

Lagu “Akhirnya Kamu” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia mulai 6 Oktober 2025.

Komen
Loading...