Penyanyi dan komposer terkenal, Aizat Amdan, mengukuhkan lagi profil seninya dengan melancarkan single terbaharu berjudul “Ajar Aku”, sebuah kolaborasi eksperimental bersama kumpulan post-hardcore popular, Sekumpulan Orang Gila (SOG).
Diterbitkan di bawah label Kasi Gegar Entertainment (KGE), karya ini menandakan peralihan berani Aizat daripada zon selesa balada dan pop alternatif yang sinonim dengan identitinya selama dua dekad, kepada pop rock progresif yang lebih dinamik.
Aizat berkata, “Ajar Aku” bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya merupakan simbol keberanian dua identiti muzik yang berbeza untuk bersatu dalam menghasilkan bunyi yang jujur dan segar.
“Kami menggabungkan kelembutan melodi dan penceritaan emosional dengan tenaga agresif post-hardcore SOG. Ia adalah satu eksperimen untuk mencari titik tengah antara vokal ‘soulful’ saya dan karakter rock kasar Raja Nazrin Shah,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan dia The Campu, Ampang, di sini, semalam.
Menariknya, lagu tersebut terhasil secara organik ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast” pada Mei tahun lalu, di mana SOG hadir sebagai tetamu jemputan.
Dari sudut penceritaan, “Ajar Aku” membawa tema mendalam mengenai nilai merendahkan ego untuk menerima ilmu dan bimbingan daripada orang sekeliling.

Selain kolaborasi bersama SOG, single ini turut menampilkan kejutan menerusi kemunculan vokal istimewa penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna, di penghujung lagu.
“Bahagian vokal wanita itu asalnya hanyalah suara AI untuk demo sementara. Bagaimanapun, Yuna yang kebetulan berada di studio KGE ketika itu tertarik dengan melodi tersebut dan menawarkan diri untuk merakamkannya secara langsung,” ujar Aizat.
Single ini mendapat sentuhan produksi daripada Anas Amdan selaku penerbit, manakala video muziknya diarahkan oleh Adam Sinclair dengan Yuna bertindak sebagai pengarah seni.
“Ajar Aku” kini boleh didapati di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube bermula hari ini.
