Aishah Raikan 4 Dekad Seni, Tiket ‘40 Chapters of Love’ Mula Dijual 3 Petang Ini
- oleh MDaily Editor
- 17 Apr 2026 12:41 pm
Legenda seni suara tanah air, Dato’ Aishah, bakal melakar sejarah peribadi menerusi konsert solo berskala besar, “Aishah 40 Chapters of Love” yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai 2026 ini.
Konsert yang akan menggegarkan Megastar Arena, Kuala Lumpur pada jam 8.00 malam itu merupakan anjuran Vox Nation Live bagi meraikan kembara seni ikon negara ini yang menjangkau usia 40 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang berkata, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya ia adalah sebuah naskhah cinta dan apresiasi terhadap legasi luar biasa yang dibina Aishah sejak era 80-an sehingga kini.
“Dato’ Aishah adalah nama yang membentuk sejarah muzik Malaysia. Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu pengalaman yang akan menyentuh emosi penonton dari awal hingga akhir. Kami mahu peminat merasai setiap detik, setiap lagu dan setiap kenangan yang dibawa ke pentas.” katanya,

Mengangkat tema perjalanan hidup menerusi muzik, penonton bakal dibawa menyelusuri setiap “bab” penting dalam karier beliau.
Lagu-lagu berhantu seperti Janji Manismu, Camar Yang Pulang, dan Kemaafan Dendam Yang Terindah dijangka menjadi kemuncak malam yang penuh emosi itu.
Bagi Dato’ Aishah, konsert ini merupakan dedikasi khas buat peminat yang tidak putus-putus menyokongnya sepanjang empat dekad.
“Konsert ini adalah hadiah saya buat semua peminat setia. Saya kini sedang giat melakukan persiapan rapi dari segi mental dan fizikal bagi memastikan setiap detik di pentas nanti benar-benar sempurna dan menyentuh hati semua yang hadir,” katanya.
Peminat yang ingin menyaksikan malam bersejarah ini boleh mendapatkan tiket yang akan mula dijual secara rasmi pada hari ini (17 April) bermula jam 3.00 petang dengan harga tiket bermula RM168 hingga RM788 menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my/Aishah40.
