Ikuti Kami:

Aishah Berlatih Empat Jam Sehari, Tiket kini di Ticketmelon

Aishah Berlatih Empat Jam Sehari, Tiket kini di Ticketmelon

Menjelang konsert berskala besar yang bakal mengukir sejarah peribadinya, Dato’ Aishah, membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk memberikan persembahan bertaraf lima bintang.

Meskipun sudah empat dekad dalam industri muzik, penyanyi yang terkenal dengan vokal ampuh ini mendedahkan beliau kini giat menjalani latihan intensif sehingga empat jam sehari demi memastikan konsert “Aishah 40 Chapters of Love” pada 4 Julai depan berjalan sempurna.

Menurut Aishah, antara cabaran terbesar yang diletakkan ke atas dirinya sendiri adalah menghafal keseluruhan senarai lagu tanpa bantuan alat pembaca lirik atau prompter di atas pentas.

“Saya rasa bila saya tak hafal lirik, saya tidak dapat menghayati lagu itu sepenuhnya dan gagal menyampaikan emosinya kepada pendengar. Jadi, kalau ada 30 lagu, 30 lagulah saya akan hafal.

“Bagi saya, semakin tinggi tahap yang kita capai, semakin kuat kita perlu bekerja kerana harapan peminat juga semakin tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran rasmi konsert tersebut di Restoran Rebung Chef Ismail, di sini, semalam.

Selain vokal, Aishah turut menitikberatkan stamina dengan melakukan senaman zumba di rumah serta menjaga pemakanan bagi memastikan beliau kekal bertenaga untuk beraksi di Megastar Arena nanti.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai kekeliruan yang timbul berhubung status jualan tiket sebelum ini, pihak penganjur, Vox Nation Live, mengesahkan bahawa urusan jualan kini telah dialihkan sepenuhnya ke platform baharu iaitu Ticketmelon.

Langkah drastik itu diambil bagi mengatasi isu teknikal pada sistem terdahulu yang menyebabkan ramai peminat gagal membuat pembelian sehingga menyangka tiket telah habis terjual (sold out).

“Kita tidak mahu menuding jari kepada sesiapa, cuma saya mohon rakan media sampaikan bahawa tiket masih ada. Kasihan peminat yang sudah menunggu berjam-jam tetapi sistem ‘berantakan’.

“Sekarang, semuanya sudah stabil di platform baharu. Saya jemput semua datang untuk menikmati perjalanan muzik saya selama 40 tahun ini sebagai satu memori kolektif kita bersama,” tambah beliau lagi.

Konsert yang turut menampilkan penyanyi muda berbakat, Ara Johari, sebagai artis undangan itu menawarkan kategori tiket bermula pada harga RM168 sehingga RM788.

Peminat yang ingin menyaksikan momen bersejarah ini boleh mendapatkan tiket secara rasmi melalui laman web www.ticketmelon.com/voxnationlive/aishah40.