Menyambut ulang tahun ke-40 penglibatan dalam industri muzik, penyanyi versatil Dato’ Aishah bakal menterjemahkan perjalanan seninya menerusi konsert solo berskala besar, “Aishah 40 Chapters of Love, Live in Concert” pada 4 Julai depan.
Konsert anjuran Vox Nation Live itu bakal berlangsung di Megastar Arena, Sungai Wang bermula jam 8.00 malam.
Dato’ Aishah bukan asing dalam lipatan sejarah muzik tanah air, beliau merupakan artis Malaysia pertama yang berjaya menembusi carta Billboard di Amerika Syarikat menerusi kumpulan The Fan Club yang berpangkalan di New Zealand pada penghujung era 80-an dengan lagu hits seperti Sensation.
Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1990, beliau mencetuskan fenomena luar biasa sebagai penyanyi solo.
Lagu ikonik “Janji Manismu” bukan sahaja menjulang namanya sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) 1990, malah album solo pertamanya mencatat jualan melebihi 250,000 unit.
Kemenangan beliau di pentas Gegar Vaganza Musim Ke-4 pada 2017 turut membuktikan vokal beliau kekal berbisa dan relevan merentasi zaman.

Konsert ini adalah satu mercu tanda penting buat Aishah dalam merayakan kesetiaan peminat yang menyokong kerjayanya sejak era antarabangsa bersama The Fan Club di New Zealand sehingga kini.
“40 Chapters” dipilih bagi menggambarkan 40 babak kehidupan dan kerjaya Aishah yang penuh warna-warni, kejayaan, dan cabaran.
Peminat yang ingin menyaksikan kehebatan vokal pemenang trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) ini boleh mendapatkan tiket yang akan mula dijual pada 17 April 2026, jam 3.00 petang.
Bagi memenuhi permintaan pelbagai lapisan peminat, Vox Nation Live menawarkan tiket dalam pelbagai kategori yang dinamakan sempena lagu-lagu ikonik beliau seperti Janji Manismu, Sensation, Paradise, Kasih Kita, Pulanglah, dan Taman Keabadian.
Harga tiket ditawarkan bermula daripada RM168 sehingga RM788 bagi kategori VVIP.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my/Aishah40.
