Aisha Retno Sedia Berdamai, Enggan Ulas Isu Pinjaman Wang AJL
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu
Penyanyi Aisha Retno menyatakan kesediaannya untuk berdamai dengan pihak penganjur, Yuka Kharisma dari Kharisma Music International, susulan kontroversi pembatalan Konsert Malam Sutera Aisha Retno.
Namun, Aisha memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu pinjaman wang sebanyak RM83,000 yang dikaitkan dengan persembahannya di Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38).
Aisha atau nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, menegaskan bahawa beliau terbuka untuk bermaafan dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menamatkan perselisihan antara kedua-dua pihak.
“Saya bersedia untuk bermaafan dengan pihak sana. Kalau pihak sana telefon, sudah pasti saya akan jawab. Saya mahu mudahkan kerja kedua-dua pihak dan berharap semuanya boleh kembali aman,” katanya ketika ditemui media.
Penyanyi itu turut mengakui bahawa Yuka, yang sebelum ini dianggap seperti kakaknya sendiri, mungkin berada dalam situasi yang sukar ketika mengambil keputusan membatalkan konsert tersebut.
“Saya tidak salahkan dia seratus peratus. Mungkin ada juga salah saya. Perbincangan secara tertutup adalah langkah terbaik sebelum perkara ini dibawa ke umum,” tambahnya.
Aisha berkata demikian ketika ditemui di pelancaran lagu terbaharu XONE berjudul Langgar yang diadakan di sekitar ibu kota, pada Jumaat.
Bagaimanapun, Aisha enggan memberikan sebarang komen mengenai tuntutan Yuka supaya beliau melunaskan pinjaman wang berjumlah RM83,000 yang didakwa digunakan untuk persembahan AJL38 pada Mac lalu.
Difahamkan, Konsert Malam Sutera Aisha Retno, yang dijadualkan berlangsung pada 16 November, sepatutnya menjadi cara untuk melangsaikan pinjaman tersebut. Namun, konsert itu dibatalkan dengan alasan jualan tiket yang tidak memuaskan.
Aisha sebelum ini meluahkan rasa kecewa dengan keputusan mengejut penganjur yang tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu.
Meskipun berdepan kontroversi, Aisha tetap positif dan menjadikan kejadian ini sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam kerjasama pada masa hadapan.
“Insya-Allah, saya akan lebih berhati-hati selepas ini, termasuk dalam berurusan dengan kawan sendiri. Saya juga tidak trauma untuk mengadakan konsert lagi kerana segala yang berlaku ada hikmahnya,” jelasnya.
Aisha kini memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya seni tanpa terlalu memikirkan isu yang sedang hangat diperkatakan.
“Untuk sekarang, saya mahu fokus kepada karier saya dan mengabaikan dakwaan yang tidak membina. Saya percaya isu ini boleh diselesaikan dengan baik jika kedua-dua pihak berlapang dada,” katanya.
Aisha kekal optimis bahawa setiap ujian yang dilalui akan mengukuhkan lagi langkahnya dalam industri muzik.