Aisha Retno Kecewa Konsert Malam Sutera Dibatalkan Tanpa Rundingan
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Pada hari Sabtu lalu, pihak penganjur mengumumkan bahawa Konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November di Zepp Kuala Lumpur telah dibatalkan kerana jualan tiket yang rendah.
Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, meluahkan rasa kecewa melalui hantaran di Instagram pada malam Ahad, menyatakan bahawa keputusan pembatalan tersebut dibuat tanpa perbincangan dengannya.
“Kalau diberi peluang, saya sangat ingin teruskan konsert itu, namun keputusan sudah dibuat dan tiada apa yang dapat dilakukan lagi. Pihak penganjur tidak mahu berbincang,” katanya.
Aisha turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan penganjur yang dianggap kurang profesional kerana membuat pengumuman kepada umum tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.
“Sepatutnya mereka perlu beritahu saya dahulu agar saya tahu apa yang sedang berlaku,” tambahnya.
Beliau juga menyatakan bahawa pembatalan konsert ini memberi kesan besar kepadanya kerana terpaksa menolak beberapa tawaran kerja disebabkan persediaan untuk konsert yang sepatutnya berlangsung.
“Kerugian ini perlu saya tanggung sendiri kerana terpaksa menarik diri dari beberapa kerja atas komitmen yang telah ditetapkan untuk konsert itu.” katanya.
Aisha juga memaklumkan bahawa sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dia tidak mendapat sebarang kemas kini mengenai status konsert tersebut.
“Sepengetahuan saya, tugas perancangan kewangan dan pemasaran adalah tanggungjawab penganjur, namun mereka meletakkan beban itu pada saya,” katanya lagi.
Menurut Aisha, kenyataan penganjur yang menyebut pembatalan disebabkan oleh jualan tiket yang rendah seolah-olah menyalahkan dirinya atas kegagalan konsert tersebut, sesuatu yang beliau rasa tidak wajar.