
Penyanyi muda Malaysia, Aisha Retno terus melakar pencapaian baharu apabila berduet dengan pemuzik dan produser terkenal Indonesia, Ade Govinda, menerusi single berjudul Semoga Saja yang dilancarkan pada 19 September lalu.
Lagu ini menjadi simbol kerjasama rentas negara yang menggabungkan kekuatan vokal unik Aisha dengan sentuhan muzik Ade Govinda.
Mengangkat tema kehilangan dan doa buat insan tersayang, Semoga Saja tampil dengan susunan muzik sederhana tetapi penuh harmoni, sekali gus menyerlahkan sisi vokal Aisha yang lembut namun bertenaga.
“Sejujurnya, lagu ini bersifat peribadi untuk saya kerana mewakili rasa kehilangan dan doa yang mungkin pernah dirasai ramai orang,”
“Justeru, saya amat berharap agar pendengar dapat merasakan kejujuran dalam setiap nada dan memperoleh kekuatan dalam harapan yang tersisa dalam diri,” katanya.
Sementara itu, Ade Govinda berharap kolaborasi ini dapat membuka peluang untuk mereka terus bekerjasama pada masa hadapan.
Semoga Saja turut diperkuatkan dengan muzik video arahan Bagoes Tresna Adji yang menjalani penggambaran di Cottage Basisir Pole, Pantai Carita, Indonesia.
Single ini diterbitkan di bawah MyMusic Records dan sudah boleh didengari di semua platform digital, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Ade Govinda.