AirAsia Hausboom Festival 2025, 33 Artis, 100 Vendor Makanan & Fesyen Oktober Ini
- oleh Mohd Indera
- 28 Aug 2025 12:36 pm

AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink kembali dengan skala lebih besar, menghimpunkan 33 artis tempatan dan antarabangsa, lebih 100 vendor makanan serta 80 jenama fesyen dan streetwear di MAEPS, Serdang pada 11 dan 12 Oktober ini.
Festival yang diadakan dengan tema “Paint the Town Red” itu membawa simbol tenaga, semangat dan keberanian, hasil gabungan kerjasama jenama besar termasuk AirAsia, Hotlink, Perodua dan 7-Eleven.
Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi, berkata festival tahun ini bukan sekadar hiburan muzik semata-mata, sebaliknya satu pengalaman menyeluruh untuk semua pengunjung.
“Kami mahu menjadikan Hausboom Festival sebagai pengalaman lengkap – muzik, makanan, fesyen dan gaya hidup. Tahun ini, kami tampilkan lebih banyak nilai untuk pengunjung, termasuk cabutan bertuah hadiah utama Perodua Ativa serta peluang memenangi tiket penerbangan percuma AirAsia tanpa had,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama bersama Hotlink untuk tahun kedua berturut-turut memperkukuh nilai festival kali ini.
“Hotlink sentiasa memperjuangkan lebih nilai untuk pengguna bijak berbajet. Dengan kolaborasi ini, peminat festival bukan sahaja menikmati hiburan tetapi juga pelbagai ganjaran eksklusif,” katanya.
Antara barisan artis utama yang bakal membuat persembahan ialah Dato’ M. Nasir, Ella, Dato’ Jamal Abdillah, Def-Gab-C, Slam, Bunkface dan K-Clique.
Turut memeriahkan festival ialah artis popular dari Indonesia seperti Samsons, Bernadya, Kunto Aji, Feby Putri, Nadhif Basalamah dan Ghea Indrawari.
Selain itu, festival ini akan menampilkan Hausboom KL Foodie Fest dengan lebih 100 vendor makanan yang dikurasi oleh platform terkenal KL Foodie, serta Hausboom Lokal Fest 2025 dengan lebih 80 jenama streetwear dan thrift eksklusif, termasuk kerjasama bersama SOVO.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Amanda Woo, berkata kerjasama ini adalah kesinambungan peranan AirAsia yang dekat dengan muzik dan budaya anak muda.
“AirAsia percaya muzik mampu menyatukan orang ramai, sama seperti perjalanan. Festival ini bukan sahaja tentang persembahan, tetapi juga meraikan budaya, makanan dan fesyen serantau. Ia menjadi platform terbaik untuk menghubungkan peminat muzik dari seluruh ASEAN,” katanya.
Tiket dijual pada harga RM119 (General Admission), RM299 (Rockzone) dan RM1,200 (VVIP) yang menawarkan akses premium termasuk dek tontonan khas, makanan dan minuman tanpa had, tandas peribadi serta laluan ekspres.
Tiket boleh dibeli melalui laman rasmi sayalive.io/hausboomfestival2025
Festival mega ini dijangka menjadi acara hiburan paling dinantikan tahun 2025 dengan gabungan muzik, makanan, fesyen dan hadiah eksklusif termasuk peluang memenangi kereta Perodua Ativa baharu.