Aina Abdul Raih Bintang Paling Popular ABPBH 36, Akui Tanggungjawab Kini Lebih Besar
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 menyaksikan kejayaan besar Aina Abdul apabila penyanyi itu dinobat sebagai Bintang Paling Popular bagi edisi tahun ini.
Aina, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, berjaya meraih anugerah tertinggi setelah menerima sebanyak 8,882,662 undian daripada peminat, mengukuhkan kedudukannya sebagai bintang pilihan ramai.
“Alhamdulillah, saya benar-benar tidak menyangka akan menang kerana perjalanan saya tidak mudah. Kemenangan ini sepenuhnya hasil sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi,” kata Aina ketika ditemui sejurus selepas kemenangannya diumumkan.
Beliau turut meluahkan rasa syukur kepada Berita Harian, TV3, serta juri yang memberi peluang kepadanya untuk terus berkarya.
Kemenangan ini, menurut Aina, adalah satu penghargaan besar yang tidak mungkin dicapai tanpa bantuan semua pihak.
Dalam mengulas lanjut tentang kejayaannya, Aina mengakui bahawa kemenangan besar ini membawa tanggungjawab yang lebih besar buat dirinya.
“Bagi saya, kemenangan anugerah ini adalah satu peringatan untuk bekerja lebih keras. Walaupun rasa gembira, saya juga berasa takut kerana perlu membuktikan lebih banyak perkara kepada industri.”
Penyanyi berusia 31 tahun itu menambah bahawa, selagi dia jujur dalam menghasilkan karya muziknya, dia percaya lagu-lagunya akan terus melekat di hati para peminat.
“Saya yakin, cepat atau lambat, kejujuran dalam karya akan diterima dengan baik oleh peminat,” tambah Aina.
Dikenali dengan gaya fesyen yang unik dan eksentrik, Aina Abdul sering menjadi perhatian, terutama apabila penampilannya di pentas atau acara hiburan mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.
Setiap kali tampil, Aina tidak pernah terlepas dari kontroversi, menjadikan pilihan fesyennya sebagai topik utama dalam kalangan netizen.