Ikuti Kami:

Aina Abdul, Ernie Zakri Antara Artis Popular Bakal Meriahkan Gema Raya Putrajaya 2026

Aina Abdul, Ernie Zakri Antara Artis Popular Bakal Meriahkan Gema Raya Putrajaya 2026

Kemeriahan festival Aidilfitri yang pertama di puncak tertinggi Putrajaya, Gema Raya Putrajaya 2026 @ PICC, bakal bertambah seri dengan kemunculan istimewa barisan artis popular tanah air bermula 15 Februari ini.

Festival yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu bakal menampilkan barisan penyanyi gred A dan bekas finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) termasuk Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi, dan Nabila Razali yang dijadualkan membuat persembahan pada hujung minggu terpilih.

Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, kehadiran barisan artis ternama itu merupakan antara strategi utama untuk menarik lebih ramai pengunjung selain menjadi platform eksklusif bagi peminat mendekati artis kegemaran mereka dalam suasana Ramadan.

“Pembabitan artis bertaraf tinggi yang pernah memenangi pelbagai anugerah ini adalah penanda aras kelangsungan dan kejayaan penganjuran Gema Raya Putrajaya pada masa akan datang.

“Sebagai penganjur, kami mahu memberikan nilai tambah kepada usahawan yang berniaga dengan menarik trafik pengunjung yang tinggi ke PICC melalui elemen hiburan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Turut memeriahkan acara selama 33 hari itu ialah Bella Astillah serta bakat baharu seperti juara program Raise The Star Malaysia, Didie Shazry, dan kumpulan Alpha daripada program Big Stage Alpha.

Mengulas mengenai keunikan festival kali ini, Rayme menjelaskan bahawa Gema Raya Putrajaya 2026 turut memperkenalkan konsep ‘iftar dan moreh di puncak bukit’ yang membolehkan pengunjung menikmati panorama indah Putrajaya sambil membeli-belah di hampir 300 lot vendor yang tersedia.

Festival yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini mensasarkan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung, sekali gus menyokong sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sehingga kini, lebih 150 lot niaga telah habis terjual sejak dibuka pada Disember lalu, sekali gus menepis dakwaan bahawa ekonomi bazar Aidilfitri tahun ini agak hambar.

Tahun lalu, syarikat penganjur yang sama telah mencatatkan rekod luar biasa menerusi penganjuran Anjung Syawal Putrajaya 2025 yang menarik lebih satu juta pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM100,000 bagi sesetengah lot gerai.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual persembahan artis dan penyertaan vendor boleh melayari laman web rasmi di www.klramadanfestival.com.my.

Komen
Loading...