AIM24: Siti Nurhaliza Julang Anugerah Sri Wirama, Aina Abdul Dominasi Malam
- oleh Mohd Indera
- 14 Sep 2025 2:49 pm

Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) bertemakan Kemuncak Segala-Galanya berlangsung penuh gemilang di Arena of Stars, Resorts World Genting dengan menobatkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai penerima Anugerah Sri Wirama dan Aina Abdul sebagai pemenang utama malam berprestij itu.
Siti Nurhaliza menerima pengiktirafan tertinggi industri muzik atas sumbangan besar dan konsistensinya dalam mengangkat muzik tanah air ke peringkat antarabangsa.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya, malam ini saya berdiri di sini menerima Anugerah Sri Wirama, satu penghormatan yang sangat besar dalam perjalanan seni saya.
“Pertama sekali, jutaan terima kasih kepada Anugerah Industri Muzik (AIM) dan RIM atas pengiktirafan ini. Anugerah ini bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga untuk semua insan seni yang telah bersama-sama membina perjalanan saya selama lebih 30 tahun dalam industri.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada suami tersayang serta keluarga, pihak pengurusan saya, rakan seperjuangan, pencipta lagu, penulis lagu, penerbit, pihak media, serta semua yang telah menjadi tulang belakang kepada kerjaya saya.
“Tidak lupa kepada peminat saya yang saya kasihi Sitizoners, yang telah setia memberi sokongan dan kasih sayang tanpa henti,” katanya.
Dalam pada itu, Aina Abdul mendominasi dengan merangkul Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik serta Lagu Terbaik menerusi karyanya, Jangan Mati Rasa Itu.
“Ini satu penghormatan yang cukup besar. Saya benar-benar terharu kerana setiap usaha dan emosi yang dicurahkan dalam karya akhirnya mendapat pengiktirafan,” katanya dengan linangan air mata di pentas.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim, berkata pengiktirafan itu adalah bukti keunggulan artis tempatan dalam melahirkan karya berkualiti.
“Anugerah Sri Wirama kepada Siti Nurhaliza adalah penghormatan tertinggi kepada seorang legenda yang kekal relevan merentasi generasi. Pada masa sama, kejayaan Aina Abdul menunjukkan generasi baharu mampu berdiri di pentas dunia,” katanya.
AIM24 turut memperkenalkan empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik.
Antara pemenang utama AIM24 ialah:
– Anugerah Sri Wirama: Dato’ Sri Siti Nurhaliza
– Lagu Terbaik: Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)
– Album Terbaik: Belagu 2 (Aubrey Suwito)
– Artis Baharu Terbaik & Vokal Lelaki Terbaik: Ryenald Guntabid (Lumangad Oku Dika)
– Kolaborasi Terbaik: Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)
Pasangan pengacara Sherry Al Hadad dan Alif Satar menghidupkan suasana malam, manakala pentas dihiasi persembahan artis popular seperti Masdo, Shila Amzah, Ernie Zakri, Ara Johari, Black Hanifah, Salammusik dan penampilan eksklusif daripada Siti Nurhaliza.
Pada penganjuran kali ini, Kementerian Komunikasi memperuntukkan Dana Kandungan Kreatif (DKD) berjumlah RM700,000 melalui My Creative Ventures kepada 11 kategori pemenang.
Dana terbesar sebanyak RM200,000 diberikan kepada kategori Album Terbaik, manakala 10 kategori lain termasuk Artis Baharu Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik masing-masing menerima RM50,000.
Acara yang dihadiri lebih 4,000 penonton itu turut disiarkan secara langsung di TV2, RTM Klik dan Nasional FM.
AIM24 yang mendapat sokongan Samsung Galaxy A56 & A36 5G, Resorts World Genting, Lavabell serta beberapa rakan strategik lain membuktikan acara ini kekal sebagai pentas paling berprestij bagi meraikan karyawan muzik tanah air.