AIM24: Kod ISRC Punca ‘Old Love’ Tidak Diiktiraf ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’
- oleh Mohd Indera
- 19 Sep 2025 7:00 pm

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menjelaskan punca lagu popular Old Love nyanyian Yuji dan Putri Dahlia tidak diiktiraf dalam kategori ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), meskipun mencatatkan jumlah strim tinggi.
Menurut RIM, isu berpunca daripada pendaftaran International Standard Recording Code (ISRC) lagu tersebut yang tidak menggunakan awalan negara “MY”. Sebaliknya, Old Love didaftarkan dengan tiga ISRC berbeza menggunakan awalan negara luar seperti SE, TL dan QZ.
“Bagi membolehkan sesebuah lagu dikenal pasti sebagai rakaman tempatan Malaysia dalam Carta Domestik RIM, kod ISRC mesti bermula dengan awalan MY. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan sistem automatik tidak mengklasifikasikan Old Love sebagai lagu tempatan,” kata RIM dalam satu kenyataan rasmi.
Akibatnya, lagu tersebut tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM iaitu carta mingguan rasmi yang menjadi rujukan tunggal bagi menentukan pemenang kategori ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ AIM24.
RIM turut menerangkan, ISRC berfungsi sebagai pengenal pasti unik atau “cap jari digital” untuk setiap rakaman muzik dan video. Kod ini membolehkan penjejakan jualan, penstriman dan royalti dibuat dengan tepat merentasi platform di seluruh dunia.
Dalam kenyataannya, RIM menegaskan kepentingan semua penerbit, label dan artis bebas untuk mendaftarkan ISRC melalui RIM dengan awalan MY bagi memastikan rakaman tempatan mendapat pengiktirafan sewajarnya.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan isu sama berulang serta menjamin kedudukan muzik Malaysia dalam carta rasmi dan anugerah muzik tempatan,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Penyanyi Yuji mempertikaikan keputusan Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24 bagi kategori Lagu Strim Terbanyak Malaysia kerana lagunya “Old Love” yang mempunyai lebih 360 juta strim di Spotify tidak dipilih, sebaliknya anugerah diberikan kepada lagu “Masing Masing” oleh Ernie Zakri yang dikatakan mempunyai jumlah strim lebih rendah, sekadar sekitar 12 juta strim.