Ikuti Kami:

AIM24: 26 Kategori, RM700,000 Menanti Pemenang

AIM24: 26 Kategori, RM700,000 Menanti Pemenang

Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) menjanjikan persaingan sengit tahun ini dengan 26 kategori dipertandingkan dan ganjaran keseluruhan RM700,000 menanti pemenang, hasil peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV).

Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim, berkata pemilihan finalis dibuat oleh panel juri profesional dan diaudit secara bebas oleh firma Mazars, dengan pengurusan proses penjurian diselia Macomm Management Services Sdn. Bhd.

“Dana ini bukan sekadar penghargaan, tetapi pelaburan untuk penghasilan karya muzik berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa,”

“Barisan juri yang dilantik telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, dedikasi dan telus. Hasilnya, kita telah memperoleh senarai lima terbaik bagi 26 kategori AIM24 seperti mana pengumuman pada hari ini,”

“Saya cukup teruja melihat senarai lima finalis ini kerana ia merangkumi bakat-bakat baru yang sedang menyinar selain artis-artis ternama yang telah lama menempatkan diri dalam industri muzik tempatan.” katanya dalam sidang media di Premiera Hotel, di sini, hari ini.

Kategori Album Terbaik akan menerima dana tertinggi berjumlah RM200,000. Sepuluh kategori lain termasuk Artis Baru Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik akan menerima RM50,000 setiap satu.

Tahun ini AIM24 menerima 682 pencalonan bagi karya yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Penjurian berlangsung pada Julai lalu di Timeless Studio dan Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Panel juri AIM24 dianggotai pengamal industri muzik tempatan yang berkelayakan serta berpengalaman luas dalam industri muzik tanah air merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi, penerbit, penggubah lagu, guru vokal, pengarah video, jurutera rakaman, jurufoto, pereka grafik, perunding imej dan sebagainya.

Penjurian itu dikemudikan oleh Pengarah Muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri.

Malam kemuncak AIM24 akan diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025, jam 9 malam, dengan siaran langsung di TV2 dan RTM Klik.

Acara karpet merah bermula jam 8 malam, manakala enam kategori diumumkan sehari sebelumnya pada Majlis Pra-Anugerah.

AIM24 kali ini mempertandingkan 30 kategori keseluruhan, termasuk empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik dan Kugiran Terbaik.

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, YBhg. Datuk Suhaimi Sulaiman; Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi, Puan Noreen Iszani Yusak; Ketua Bahagian Jenama, Media dan Pemasaran Digital Samsung Malaysia Electronics (SME), Puan Agnes Wong; Pengurus Media Samsung Malaysia Electronics (SME), Encik Dinie Zulfadhli serta Ketua Bahagian Hiburan & Acara Resorts World Genting, Cik Chia Lee Yun; Penolong Naib Presiden MyCreative Ventures Sdn Bhd, En Muhammad Nadzmi Musa.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif RIM, Puan Caren Lau; barisan Ahli Lembaga Pengarah RIM serta barisan finalis AIM24.

Sejak diperkenalkan pada 1993, AIM menjadi pentas berprestij menghimpunkan bakat baharu dan legenda muzik tanah air.

Komen
Loading...