Ikuti Kami:

AIM24 2025 Kembali Gemilang dengan Penambahan Kategori dan Dana Kreatif Lebih Besar

AIM24 2025 Kembali Gemilang dengan Penambahan Kategori dan Dana Kreatif Lebih Besar

Anugerah Industri Muzik ke-24 atau AIM24 bakal kembali dengan penuh gemilang pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands.

Selepas tiga tahun berehat, acara anugerah muzik paling berprestij di Malaysia ini bukan sahaja menampilkan lebih banyak kategori baharu, malah turut menerima sokongan dana yang jauh lebih besar daripada kerajaan.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) memperkenalkan tiga kategori tambahan yang menggambarkan kepelbagaian dan kekayaan muzik tempatan iaitu Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik.

Penambahan ini bertujuan memartabatkan warisan budaya dan mengiktiraf kerjasama rentas sempadan yang semakin berkembang dalam industri muzik Malaysia.

Bukan itu sahaja, Kementerian Komunikasi Malaysia melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) telah memperuntukkan dana sebanyak RM700,000 untuk pemenang AIM24 kali ini.

Jumlah ini lebih daripada dua kali ganda dana pada edisi sebelum ini yang hanya berjumlah RM320,000. Dana tersebut akan disalurkan kepada syarikat rakaman pemenang untuk menyokong penerbitan, promosi dan pengedaran karya kreatif dengan nilai komersial dan seni yang tinggi.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata AIM24 tahun ini akan menjadi platform terbaik untuk meraikan pencapaian penggiat muzik tempatan yang telah berusaha gigih mengangkat seni muzik Malaysia.

“Dengan kategori baharu ini, kami turut menegaskan kepentingan perpaduan dan warisan budaya dalam muzik serta pengiktirafan antarabangsa terhadap bakat tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, RTM buat julung kalinya akan menjadi penyiar rasmi acara berprestij ini.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman, menyatakan komitmen RTM dalam menyokong bakat tempatan dan memperluaskan jangkauan muzik Malaysia ke seluruh negara dan antarabangsa.

Pencalonan AIM24 dibuka mulai 4 Jun hingga 4 Julai 2025 dan terbuka kepada karya dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan dari 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Para peminat muzik dan industri boleh membuat pencalonan secara atas talian di www.aim1.org.my.

Dengan 31 kategori utama dan proses penjurian yang dijalankan oleh panel pakar industri bebas, AIM24 2025 dijangka menjadi acara paling dinanti yang meraikan keunggulan muzik Malaysia pada tahun ini.

Pengumuman lima calon akhir akan dibuat pada Ogos 2025, menanti untuk dinobatkan pada malam penganugerahan.

Komen
Loading...