Ahmad’s Fried Chicken Terus Agresif, Buka Cawangan Ke-56 di Prima Gombak
- oleh MDaily Editor
- 3 Apr 2026 7:40 pm
Jenama rangkaian makanan segera tempatan yang sedang meningkat naik, Ahmad’s Fried Chicken (Ahmad’s), terus memperkukuh dominasinya dalam industri F&B negara dengan pembukaan rasmi outlet ke-56 di Prima Gombak, hari ini.
Pembukaan cawangan strategik ini bukan sahaja menandakan pertumbuhan agresif jenama itu dalam tempoh dua tahun, malah menjadi platform pelancaran produk inovasi terbaharu mereka, Mad’s Sausage.

Pengasas Ahmad’s, En. Taufik Khairuddin berkata, pembukaan di Prima Gombak dibuat berdasarkan kepadatan penduduk dan permintaan tinggi komuniti setempat terhadap pilihan menu ayam goreng berkualiti tinggi yang dekat di hati rakyat Malaysia.
“Kami bukan sekadar membuka outlet, sebaliknya kami sedang membina sebuah gerakan jenama lokal. Setiap cawangan Ahmad’s adalah simbol bahawa produk tempatan mampu berdiri setanding jenama antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran.
Selain pengembangan fizikal, Ahmad’s turut memperkenalkan Mad’s Sausage menu sosej premium yang dihasilkan sepenuhnya dari kilang milik syarikat sendiri bagi menjamin kualiti dan rasa yang unik.
Menurut Puan Lailatul Sarahjanna, keunikan Ahmad’s terletak pada kawalan rantaian bekalan (supply chain) di mana roti dan sosej dihasilkan sendiri bagi memastikan standard yang sukar dicabar pesaing lain.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan makanan segera lebih mampu milik tanpa mengompromi kualiti. Melalui kempen ‘Make Fast Food Affordable’, kami mahu memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati hidangan kami dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini,” jelas beliau.
Menambah keunikan operasi, Ahmad’s turut melancarkan aplikasi mudah alih yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta sistem rujukan (affiliate) sehingga enam tahap. Melalui aplikasi ini, pelanggan bukan sahaja menikmati potongan harga, malah berpeluang menjana pulangan tunai (cashback) melalui setiap perbelanjaan.
Mengulas mengenai pelan masa depan, Ahmad’s mensasarkan untuk mencapai jumlah 60 cawangan menjelang penghujung tahun ini, termasuk rancangan pengembangan sayap ke pasaran Sabah dan negeri-negeri lain.
Bagi pelabur yang berminat, Ahmad’s menawarkan pakej pelaburan bernilai RM990,000 menerusi model perniagaan ‘Dealer Owned, Company Operated’ (DOCO) bagi memastikan kualiti operasi setiap restoran diselia secara profesional oleh pasukan pengurusan pusat.
Dalam tempoh dua tahun, Ahmad’s telah membuktikan bahawa sokongan rakyat terhadap gerakan produk tempatan bukan sekadar trend sementara, tetapi satu anjakan paradigma dalam industri makanan segera negara yang kini turut mula menembusi pasaran antarabangsa seperti Qatar.




