Ahmad’s Fried Chicken Tawar Variasi Menu Untuk Ramadan Ini
- oleh MDaily Editor
- 14 Feb 2026 2:47 pm
Rangkaian restoran ayam goreng tempatan, Ahmad’s Fried Chicken, memperkenalkan kempen Ramadan komprehensif yang merangkumi hidangan khusus untuk waktu berbuka puasa, moreh, sehingga sahur.
Menerusi pelancaran menu utama Golden Chicken (Ayam Seekor), jenama ini menyasarkan untuk menjadi destinasi pilihan utama keluarga Malaysia yang mencari kepelbagaian rasa sepanjang bulan suci tersebut.
Pengasas Ahmad’s Fried Chicken, Lailatul Sarahjana Mohd Ismail berkata, kempen tahun ini merupakan kesinambungan kejayaan tahun lalu, namun ditambah baik dengan variasi rasa dan pilihan kombo yang lebih meluas.
“Untuk Ramadan kali ini, kami mengetengahkan menu ‘hero’ iaitu Golden Chicken yang didatangkan dalam dua pilihan rasa iaitu Original dan Spicy. Hidangan ayam seekor ini disajikan bersama nasi mentega (butter rice), side dish, serta sos khas Sweet and Spicy Thai yang direka untuk dinikmati bersama keluarga,” katanya selepas majlis pelancaran kempen tersebut di Ahmad’s Setiawangsa, semalam.

Menyedari perubahan corak pemakanan pelanggan pada bulan Ramadan, Ahmad’s turut melakukan pelarasan waktu operasi bagi memenuhi permintaan tinggi pada waktu malam dan awal pagi.
“Kami menyedari waktu kemuncak (peak hour) adalah sekitar jam 10.00 malam sehingga 3.00 pagi apabila orang ramai singgah selepas solat Terawih. Oleh itu, kami menyelaraskan waktu operasi bermula jam 3.00 petang sehingga 5.00 pagi bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan kami untuk moreh dan sahur,” jelas beliau.

Bagi kategori Moreh, Ahmad’s memperkenalkan Mad’s Sausage dan minuman Lemon Cola yang menyegarkan. Manakala bagi segmen Sahur (bermula 12.00 tengah malam hingga 5.00 pagi), pelanggan ditawarkan menu ringkas namun mengenyangkan seperti Mad’s Nugget, Mad’s Chicken Burger, Mad’s Nasi Lemak, dan set jimat Mad’s Saver.
Mengulas mengenai persediaan menu, Lailatul Sarahjana mendedahkan bahawa proses Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi menu Ramadan ini mengambil masa sekitar tiga hingga empat bulan.

“Cabaran utama kami bukan sekadar mencipta resipi, tetapi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah lengkap. Sebagai jenama francais, kualiti dan rasa yang dinikmati pelanggan di cawangan pertama mestilah konsisten dengan cawangan ke-40.
“Latihan kakitangan dijalankan lebih awal supaya penyelarasan produk adalah sempurna sebaik sahaja kempen ini bermula pada hari pertama Ramadan nanti,” tambahnya.
Menu eksklusif Ramadan ini merupakan edisi terhad yang hanya boleh didapati sepanjang bulan Ramadan dan dijangka menjadi penyumbang utama kepada jualan tahunan syarikat berdasarkan prestasi memberangsangkan tahun lalu.




