Ahmad’s Fried Chicken Kini di Kota Warisan, Lancar Menu Istimewa Burger Satay
- oleh Mohd Indera
- 13 Sep 2025 3:32 pm

Jenama ayam goreng tempatan, Ahmad’s Fried Chicken, terus mencatat perkembangan pesat apabila membuka cawangan ke-44 di Kota Warisan, Sepang, hari ini.
Majlis pelancaran itu turut merakam sejarah tersendiri apabila disempurnakan oleh personaliti televisyen terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi, yang hadir merasmikan pembukaan outlet terbaharu serta pelancaran menu istimewa, Burger Satay.
Pengasas bersama, Puan Lailatul Sarahjanna, berkata perjalanan Ahmad’s bermula secara kecil-kecilan, kini terus diperkukuh dengan pelbagai inovasi dan R&D bagi menawarkan menu yang segar serta baharu kepada pelanggan.
Datuk Aznil Haji Nawawi (kiri), Puan Lailatul Sarahjanna, Pengasas bersama Ahmad’s (tengah) dan Puan Evi, rakan niaga Ahmad’s Kota Warisan (kanan)
“Sejak hari pertama Ahmad’s diperkenalkan, sambutan pelanggan benar-benar di luar jangkaan kami. Dari situ, ia menjadi pembakar semangat untuk terus memperkukuh jenama ini. Kami segera melaksanakan kajian dan pembangunan (R&D) bagi menambah variasi menu agar pelanggan sentiasa mendapat sesuatu yang baharu.”
“Bermula dengan wagon kecil, kini selepas kejayaan membuka cawangan di Sungai Besar, Cyberjaya dan beberapa lokasi lain, Ahmad’s terus berkembang sehingga melakar sejarah dengan pembukaan cawangan ke-44 di Kota Warisan,” katanya.
Menurutnya, Burger Satay menjadi simbol inovasi Ahmad’s yang menampilkan patty ayam diperap dengan ramuan sate asli dan aroma serai, disertai kuah kacang pekat.
“Visi kami jelas, iaitu mahu mengangkat makanan tradisi ke dalam format moden yang lebih dekat dengan selera generasi baharu. Alhamdulillah, sehingga kini rakyat Malaysia memberikan sokongan yang amat luar biasa. Sudah tentu cabaran itu tetap ada, namun Allah permudahkan setiap langkah perjalanan ini,” katanya.
Datuk Aznil ketika merasmikan outlet dan menu baharu itu pula berkata, beliau teruja dengan kelainan yang dibawa Ahmad’s.
“Kuah kacangnya lebih sedap daripada sebahagian sate yang pernah saya cuba. Inovasi ini boleh pergi jauh, malah anak-anak pasti suka kerana tidak perlu lagi lidi sate, semua rasa sudah lengkap dalam satu burger,”
“Saya nampak Ahmad’s membawa satu konsep makanan rakyat Malaysia yang dipermudahkan. Dengan jenama dan kualiti seperti ini, saya yakin Ahmad’s boleh menyaingi jenama antarabangsa. Malah, saya percaya jenama ini boleh menjadi kebanggaan negara,” ujarnya.
Ahmad’s Fried Chicken yang mula beroperasi pada 2024 kini menyasarkan 80 cawangan menjelang hujung tahun ini, termasuk restoran penuh, mini restoran dan kiosk.
Pengasas dan Pengarah Ahmad’s Fried Chicken, Taufik Khairuddin, berkata Ahmad’s bukan sekadar rangkaian restoran ayam goreng, sebaliknya simbol rasa dan kebersamaan rakyat Malaysia.
“Ahmad’s bukan sekadar rangkaian restoran ayam goreng. Ia adalah simbol rasa, tradisi, dan kebersamaan rakyat Malaysia. Kami yakin sasaran 80 cawangan menjelang hujung tahun dapat dicapai, dengan sokongan pelanggan serta rakan niaga yang percaya kepada jenama ini,”
“Sebagai contoh kejayaan, Puan Evi, rakan niaga Ahmad’s Kota Warisan, merupakan antara usahawan yang telah berjaya memanfaatkan peluang ini dan membuktikan keupayaan jenama Ahmad’s dalam memperkukuh pertumbuhan perniagaan rakan niaga.” katanya.
Selain memperkenalkan 24 menu bercita rasa Malaysia, Ahmad’s kini membuka peluang perkongsian perniagaan kepada usahawan yang berminat.